PN kini diresapi sistem Mullah? – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Perikatan Nasional (PN) kini seolah-olah diresapi “sistem Mullah” selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang walaupun keputusan terdahulu gabungan itu melantik Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Tun Faisal, tindakan Abdul Hadi itu merupakan satu pusingan U yang telah dijangka berlaku.

Beliau turut mengimbau kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada tahun 2022 yang pernah mengkritik PAS kerana didakwa sering mengubah pendirian.

“Pada 7 Mei 2022, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah ingatkan mengenai PAS, kata dia, ‘PAS talam dua muka, siang cakap lain, malam berubah cakap lain’.

“Jadi memang telah dijangka Presiden PAS akan buat U-turn dan akan veto keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal berkata, keputusan mengenai jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dianggotai pimpinan tertinggi gabungan tersebut.

Menurut beliau, kedudukan penting dalam struktur PN sendiri ketika ini banyak dipegang oleh pemimpin PAS.

“Walaupun telah diputuskan dalam Mesyuarat MT PN, yang pengerusinya adalah dari PAS, begitu juga timbalan pengerusi, setiausaha agung, bendahari dan ketua pemuda, tetapi Presiden PAS yang bukan anggota MT PN boleh memveto keputusan itu seolah-olah PN sekarang sedang menggunakan sistem Mullah.

“Jadi memang telah dijangka Presiden PAS akan buat U-turn,” katanya.

Kenyataan Tun Faisal itu dipercayai merujuk kepada ucapan Abdul Hadi pada Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu apabila beliau mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin akan terus kekal sebagai Ketua Pembangkang.

“Ahli Parlimen PAS dan PN… kita tak ambil pandangan PAS sahaja tetapi ahli parlimen PN, maka PAS membuat keputusan Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang,” kata Abdul Hadi.

Pengumuman itu mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini PN telah mengumumkan bahawa Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang susulan peletakan jawatan Hamzah.

Perkembangan terbaharu itu dilihat menambah lagi spekulasi mengenai hubungan PAS dan Bersatu yang semakin tegang selepas kedua-dua parti berbeza pandangan dalam beberapa isu melibatkan hala tuju Perikatan Nasional dan usaha penyatuan parti-parti Melayu-Islam di luar gabungan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat