KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang kemungkinan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), gabungan yang pernah dibentuk antara Umno dan Pas.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan gabungan itu dihidupkan semula, Zahid menegaskan Umno tidak mempunyai sebarang hasrat untuk mengembalikan MN dalam apa jua bentuk.
“MN telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang. Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula MN.
“Sama ada 1.0 ataupun 2.0, itu telah berakhir dan kita telah tutup buku,” katanya ketika ditemui media di luar Persidangan Invest Malaysia 2026, lapor Buletin TV3 pada Selasa.
Gabungan MN antara Umno dan Pas dimeterai secara rasmi pada 2019 ketika kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, kerjasama itu berakhir selepas Pas membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu pada tahun berikutnya.


