KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyindir pendirian Barisan Nasional (BN) Johor dan Negeri Sembilan yang menolak untuk duduk semeja dengan DAP.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Anthony memuat naik sekeping gambar mesyuarat rasmi yang memaparkan beliau duduk bersebelahan Ahmad Zahid sebelum menyindir pihak tertentu yang menolak hubungan dengan DAP.
“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP….. Hebat! Teruskan keangkuhan kamu.
“Tapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan Setiausaha Agung DAP ya…harap maklum…terima kasih!” katanya.
Walaupun tidak menamakan individu yang dimaksudkan, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pemimpin UMNO yang sebelum ini dilaporkan enggan menghadiri program bersama DAP atau menolak pelawaan untuk berkongsi pentas dengan parti tersebut.
Gambar yang dimuat naik Anthony menunjukkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri duduk bersebelahan beliau dalam satu mesyuarat rasmi kerajaan, sekali gus menguatkan mesej sindiran bahawa kerjasama antara UMNO dan DAP sudah menjadi sebahagian daripada realiti politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial dan dijangka menambah hangat perdebatan mengenai hubungan UMNO-DAP ketika kedua-dua parti sedang berdepan beberapa pilihan raya negeri dalam masa terdekat.


