KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menzahirkan pandangan serta nasihat yang konstruktif berhubung hala tuju pembangunan Kuala Lumpur.
Dalam sesi terima menghadap di Istana Negara bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, baginda menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang cekap dan usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup warga kota.
Sultan Ibrahim sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan yang seimbang agar setiap perancangan dan pelaksanaan dasar memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Reformasi Kuala Lumpur oleh Hannah Yeoh yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keselamatan dan perancangan bandar.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.



