PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan menegaskan had bulanan subsidi bersasar BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak termasuk untuk bulan Jun 2026.
Menurut kementerian itu, kekeliruan timbul selepas sebahagian pengguna mendapati paparan had bulanan dalam sistem BUDI95 berubah kepada 150 liter semasa kerja penyelenggaraan sistem dijalankan pada jam 11 malam, 31 Mei lalu.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa semasa penyelenggaraan sistem BUDI95 pada jam 11.00 malam, 31 Mei 2026, sebahagian pengguna mungkin telah melihat paparan had bulanan menjadi 150 liter.
“Ingin dijelaskan bahawa paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan,” menurut kenyataan kementerian pada Isnin.
Kementerian Kewangan turut menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat terhadap had bulanan BUDI95.
“Kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak termasuk untuk bulan Jun 2026,” katanya.
Menurut kementerian itu lagi, pelaksanaan BUDI95 akan terus dipastikan berjalan secara lancar, telus dan teratur bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak.
“Kementerian Kewangan akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur demi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak.
“Segala kekeliruan berkenaan ralat ini amat dikesali,” menurut kenyataan itu lagi.



