GEORGE TOWN — Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoalkan ketiadaan tender terbuka bagi projek penambakan tanah seluas 70 ekar di hadapan Karpal Singh Drive, Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, Lim mendakwa keputusan kerajaan negeri tidak memberikan jawapan penuh terhadap soalan bertulis beliau di Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 8 Mei 2026 menimbulkan persoalan mengenai ketelusan projek berkenaan.
Beliau berkata jawapan yang diberikan hanya menyentuh keseluruhan projek pembangunan tapak pelupusan sampah Jelutong seluas 84 ekar yang dijalankan melalui proses Permintaan Cadangan (Request for Proposal, RFP), tanpa menjelaskan secara khusus mengenai projek penambakan tanah seluas 70 ekar itu.
Menurutnya, satu Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement) bagi pemulihan tapak pelupusan sampah seluas 84 ekar dengan kos RM1 bilion telah ditandatangani pada 21 Februari 2020.
Bagaimanapun, Lim berkata tiada rujukan dibuat mengenai RFP khusus bagi projek penambakan tanah 70 ekar di hadapan Karpal Singh Drive, serta tiada iklan tender terbuka dikesan bagi projek berkenaan berdasarkan semakan rekod awam.
Beliau turut menegaskan bahawa tender terbuka merupakan sebahagian daripada prinsip pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diamalkan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang pada 2008.
“Jelas bahawa RFP bagi projek pemulihan tapak pelupusan sampah seluas 84 ekar tersebut dilaksanakan secara tender terbuka. Namun, tiada sebarang penjelasan diberikan mengenai kewujudan tender terbuka atau RFP bagi projek penambakan tanah seluas 70 ekar itu,” katanya.
Lim turut menganggarkan nilai pasaran projek berkenaan boleh mencecah sekitar RM1.8 bilion berdasarkan kadar RM600 bagi setiap kaki persegi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberikan penjelasan terperinci berhubung alasan tender terbuka tidak dilaksanakan bagi projek tersebut.
Beliau berkata kegagalan melaksanakan tender terbuka hanya boleh dipertahankan atas alasan tertentu seperti keselamatan negara, keperluan mendesak atau kepakaran khusus yang tidak dimiliki pihak lain.
“Apakah alasan yang dianggap cukup penting oleh kerajaan sehingga tender terbuka diketepikan?” soal beliau.



