KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kesiapsiagaan sempadan darat dan laut negara, termasuk sekatan jalan raya serta pemantauan laluan tikus yang digunakan sindiket bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi ketika musim perayaan ini.
Susulan itu, PDRM melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyeludupan atau penyalahgunaan barang bersubsidi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada ke atas sesiapa yang dikesan terbabit kegiatan itu.
“PGA terus memperkukuh pemantauan dan operasi penguatkuasaan di kawasan sempadan darat negara dengan fokus khusus sempadan Malaysia–Thailand di Semenanjung Malaysia serta sempadan Malaysia–Indonesia di Sabah dan Sarawak.
“Melalui Op Taring, Op Tiris, rondaan sempadan, sekatan jalan raya serta risikan berterusan, PGA memberi tumpuan kepada laluan panas dan tidak sah atau ‘laluan tikus’ yang sering digunakan sindiket penyeludupan bagi membawa keluar barangan bersubsidi seperti diesel, petrol, minyak masak, gula dan barangan kawalan lain ke negara jiran,” katanya memetik Harian Metro pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, penugasan PPM memberi tumpuan kepada pemantauan laluan laut, pemeriksaan ke atas bot dan kapal mencurigakan serta pengawasan kawasan perairan berisiko tinggi yang sering menjadi laluan sindiket rentas sempadan.
“Pendekatan penguatkuasaan secara agresif, bersepadu dan berasaskan risikan dilaksanakan bersama agensi penguatkuasaan lain melalui Op Tiris dan operasi khas berkaitan mampu membendung ketirisan subsidi negara, memastikan keperluan mencukupi untuk rakyat sepanjang musim perayaan,” katanya.
Mohd Yusri berkata, operasi berterusan seperti Op Tiris mencerminkan komitmen PDRM dan agensi penguatkuasaan lain dalam menutup ruang jenayah rentas sempadan dan melindungi hasil serta subsidi negara daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.



