Bersatu amal politik kuku besi, bila mesyuarat PN semua keputusan kena ikut telunjuk mereka – Pemuda Pas Selangor

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Selangor Sukri Omar mendakwa, dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) ada sikap seolah-olah Bersatu mahu semua keputusan mesti mengikut telunjuk mereka.

Jelasnya, seakan-akan ada mesyuarat dalam mesyuarat. Ada parti dalam parti. Ada jemaah dalam jemaah.

“Hari ini cybertrooper Bersatu sibuk melabel Pas sebagai parti “mullah”. Kononnya Pas hanya tunduk kepada satu suara, satu tokoh dan satu keputusan.

“Tetapi realitinya, siapa sebenarnya yang sedang menunjukkan perangai “mullah” dalam PN?

“Lihat Bersatu. Daripada blok pembangkang PN yang pernah mempunyai 73 Ahli Parlimen, kini yang benar-benar kekal bersama PN hanya tinggal sekitar 55 orang. Pas kekal dengan 43 kerusi. Bersatu pula menyusut teruk selepas episod pecat, gantung, beri amaran dan tindakan disiplin terhadap ahli serta wakil rakyat sendiri.

“Kalau seorang individu boleh menyebabkan parti sendiri hilang kekuatan Parlimen, memecat sana sini, menggugurkan ketua bahagian dan menghukum pimpinan hanya kerana tidak sealiran dengan kehendak Presiden, itu bukan disiplin parti. Itu politik kuku besi. Itulah “mullah” yang sebenar,” selar Sukri dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Menurut beliau, berbeza situasinya dengan Pas, ujarnya Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui proses mesyuarat parti, perbincangan dalaman, Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama sebelum membuat pendirian besar.

“Tidak ada budaya memecat Ahli Parlimen sesuka hati. Tidak ada tindakan menggugurkan Yang Dipertua Kawasan hanya kerana hadir majlis yang tidak digemari. Tidak ada politik dendam membabi buta.

Tetapi anehnya Sukri berkata, Pas pula yang dituduh “mullah”.

“Bila kehendak mereka tidak dipenuhi, tekanan diberi. Bila pandangan Pas tidak sehaluan, label dilempar. Bila Pas bersuara melalui saluran rasmi parti, Pas dituduh tidak setia.

“Ini bukan semangat setiakawan. Ini bukan semangat gabungan. Ini politik dominasi.

“Bersatu membawa budaya pecat-memecat dalam parti sendiri, kemudian cuba mengimport budaya itu ke dalam PN.

“Bila Pas tidak tunduk, Pas pula dituduh bermasalah.Inilah modus operandi yang cukup jelas: kesalahan sendiri dipalitkan kepada orang lain.

“Macam gaya Pakatan Harapan (PH). Mereka menyerang, kemudian menuduh orang lain menyerang. Mereka menghina, kemudian mendakwa mereka dihina. Mereka mencipta krisis, kemudian menyalahkan pihak lain,” dakwa Sukri lagi.

Persoalannya sekarang, adakah Bersatu sedang belajar menjadi seperti PH? soal beliau.

“Atau sebenarnya mereka sedang berlatih untuk kembali bersama PH?

“Yang pasti, label “mullah” itu tidak melekat pada Pas.

“Kerana yang sedang mengamalkan politik satu suara, satu arahan, satu kehendak dan satu individu itulah Bersatu,” tempelaknya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat