Oleh Zihan Zari
GEORGE TOWN – Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang mengambil perhatian serius terhadap laporan berkaitan pencemaran serta gangguan kualiti air di Sungai Kuala Juru yang berpotensi menjejaskan sektor perikanan dan akuakultur marin di kawasan berkenaan, kata Pengarahnya, Azimah Jumatli.
Beliau berkata sebagai tindakan segera, jabatan telah melaksanakan persampelan semula pada 13 Mei lalu bagi tujuan pemantauan terhadap parameter kritikal termasuk biotoksin, logam berat dan status kualiti air.
Menurut beliau tindakan ini bertujuan memastikan keselamatan hasil perikanan serta menyokong pelaksanaan analisis trend pencemaran yang lebih menyeluruh dan berasaskan data.
“Kawasan Sungai Kuala Juru merupakan antara zon pengeluaran hasil laut penting di Pulau Pinang dengan keluasan ternakan kerang seluas 567 hektar melibatkan 27 lot ternakan aktif.
“Jabatan turut mengambil perhatian terhadap kebajikan komuniti perikanan setempat yang melibatkan 209 nelayan marin serta pengusaha akuakultur yang terkesan akibat gangguan terhadap aktiviti dan hasil pengeluaran.
“Pemantauan turut dijalankan terhadap tujuh pengusaha ternakan ikan siakap dan udang putih dengan keluasan keseluruhan 72.69 hektar, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pada masa ini, jabatan sedang melaksanakan penilaian terperinci bagi mengenal pasti implikasi ekonomi serta anggaran kerugian yang dialami oleh pengusaha terlibat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan.
“Jabatan memahami kebimbangan dan kesulitan yang dihadapi oleh komuniti nelayan serta penternak di Kuala Juru dan tumpuan adalah kepada pelaksanaan pemantauan di lapangan, penilaian teknikal serta sokongan bantuan yang berterusan bagi mengurangkan impak terhadap sumber pendapatan mereka.
“Usaha memastikan persekitaran perairan kembali berada pada tahap selamat dan kondusif supaya aktiviti perikanan dan akuakultur marin dapat diteruskan secara mampan,”ujarnya.
Ujarnya lagi, analisis lanjut turut dijalankan bagi membezakan kemungkinan sumber pencemaran organik daripada pelbagai punca yang berpotensi menjejaskan ekosistem perairan.
Analisis makmal turut dijalankan secara menyeluruh bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung serta Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan kualiti air tersebut.
Tambahnya, analisis lanjut turut dilaksanakan bagi menilai kemungkinan sumber pencemaran organik daripada pelbagai punca yang berpotensi menjejaskan ekosistem perairan.
“Jabatan turut memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa negeri dalam mempertingkat pemantauan, penguatkuasaan dan pelaksanaan langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Langkah susulan akan diteruskan secara berfokus bagi melindungi kebajikan komuniti perikanan dan akuakultur di Kuala Juru melalui pendekatan bersepadu bagi memastikan kelestarian sumber perikanan, keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan komuniti nelayan dan penternak dalam jangka panjang, ”tambahnya lagi.-SUARA.TV



