England – Pengurus Pep Guardiola mengakui faktor keletihan dan kehilangan tenaga menjadi sebab utama beliau membuat keputusan meninggalkan Manchester City selepas sedekad mengemudi kelab gergasi England itu.
Manchester City pada Jumaat mengesahkan Guardiola akan meninggalkan kelab berkenaan sebaik tamat aksi terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa, sekali gus menutup era penuh kejayaan buat pengendali dari Sepanyol itu.
Guardiola berkata beliau menyedari sudah tiba masanya untuk berundur apabila merasakan semangat dan tenaga yang selama ini menjadi kekuatannya semakin berkurangan.
“Saya tahu diri saya. Saya masih ada tenaga sekarang, tetapi saya rasa saya tidak akan memilikinya pada masa depan,” katanya.
Menurut Guardiola, tuntutan mengendalikan kelab elit dengan jadual padat setiap tiga hari serta tekanan memburu kejuaraan memerlukan tahap tenaga yang luar biasa.
Pengendali berusia 55 tahun itu turut mengakui beliau beremosi ketika menyampaikan berita tersebut kepada para pemain Manchester City pada pagi Jumaat.
Sepanjang 10 tahun bersama City sejak menyertai kelab itu pada 2016, Guardiola berjaya mengubah skuad berkenaan menjadi antara kuasa terbesar bola sepak Eropah.
Di bawah kendaliannya, Manchester City memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, beberapa trofi domestik serta kejayaan bersejarah merangkul Liga Juara-Juara UEFA.
Guardiola juga memaklumkan beliau bercadang mengambil rehat panjang daripada dunia kejurulatihan selepas meninggalkan City.
“Saya akan berehat seketika. Apa yang berlaku selepas ini, saya sendiri belum tahu,” katanya.
Sebagai penghormatan terhadap jasa beliau, Manchester City dilaporkan akan menamakan salah satu bahagian stadium Etihad sempena Guardiola selain membina patung khas bagi memperingati legasinya di kelab itu.



