KUALA LUMPUR – Bersatu memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, Bersatu berpandangan bahawa setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setia kawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memperkukuhkan perpaduan PN.
“Sehubungan itu, Bersatu akan meneliti setiap perkara yang dibangkitkan dan membincangkannya secara mendalam dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam masa terdekat,” kata Tun Faisal dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden Pas berkata parti itu sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
Hadi berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam PN dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.
Tegas Hadi, Pas mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.
Namun beliau mengakui, tahap kesabaran parti itu ada batasnya,” kataya.



