Dalam dunia yang dipenuhi cahaya lampu kamera, sorakan peminat dan kehidupan glamor yang sering kelihatan sempurna di mata ramai, tidak semua senyuman yang terukir hadir daripada rasa bahagia yang sebenar. Ada hati yang diam-diam menyimpan luka, ada jiwa yang penat berpura-pura kuat dan ada insan yang tersenyum hanya kerana tidak mahu orang lain melihat retaknya perasaan di dalam diri. Daripada realiti itulah lahirnya filem romantik komedi “Kata Hati”, sebuah naskhah yang bukan sekadar membawa kisah cinta biasa, tetapi menyentuh sisi kehidupan yang dekat dengan masyarakat hari ini.
Terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. bersama Filmscape Sdn Bhd., filem ini hadir dengan gabungan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden yang disulam dengan penceritaan santai tetapi penuh emosi. Pada pandangan pertama, mungkin ramai akan melihat “Kata Hati” sebagai sebuah kisah cinta ringan yang menghiburkan. Namun di sebalik gelak tawa dan momen-momen manis yang dipaparkan, tersimpan pelbagai rasa yang mungkin pernah dilalui ramai orang dalam kehidupan sebenar.
Kadangkala kehidupan memang begitu. Kita kelihatan baik-baik sahaja di mata orang lain sedangkan di dalam hati, kita sedang memikul sesuatu yang terlalu berat untuk diluahkan. Kita ketawa bersama orang ramai tetapi pulang dengan hati yang kosong. Kita bertahan dalam sesuatu hubungan bukan kerana masih bahagia, tetapi kerana takut kehilangan sesuatu yang lebih besar.
“Kata Hati” membawa penonton menyelami perjalanan hidup Ayra Natasha, seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik dalam industri hiburan dan menjadi perhatian ramai. Nama Ayra semakin dikenali, wajahnya sering menghiasi pelbagai platform dan kehidupannya dilihat seperti sebuah impian yang diidamkan ramai orang. Bersama teman lelakinya yang juga seorang pelakon terkenal, kehidupan Ayra dari luar tampak sempurna dan bahagia.
Namun hakikat sebenar jauh berbeza daripada apa yang dipaparkan kepada dunia. Di sebalik populariti yang dimiliki, Ayra sebenarnya sedang terperangkap dalam hubungan toksik bersama teman lelakinya, Zayn Mikhail. Hubungan yang pada awalnya mungkin dipenuhi dengan rasa cinta dan kebahagiaan, perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang memenatkan emosinya. Tetapi Ayra memilih untuk bertahan. Bukan kerana dia masih bahagia sepenuhnya, tetapi kerana dia merasakan itulah harga yang perlu dibayar demi menjaga imej, karier dan statusnya sebagai seorang artis popular.

Dalam dunia selebriti yang sentiasa diperhatikan dan dinilai, kadangkala seseoran terpaksa menutup luka sendiri demi memastikan segala-galanya kelihatan sempurna. Dia tersenyum di hadapan kamera, tetapi jauh di sudut hati, dia semakin kehilangan dirinya sendiri.
Kemudian hadir seseorang yang langsung tidak dijangka. Di tengah kekecohan hidup yang semakin berserabut, Ayra dipertemukan dengan Imran Firdaus, seorang pemandu e-hailing yang kehidupannya sangat berbeza daripada dunia glamor yang biasa dikelilinginya. Imran bukan seseorang yang teruja dengan populariti. Dia tidak melihat Ayra sebagai seorang bintang besar dan tidak memandang status sebagai sesuatu yang mengubah nilai seseorang. Dia hanya melihat Ayra sebagai manusia biasa.
Dan kadangkala perkara yang paling menyentuh hati bukanlah hadiah yang mahal atau kata-kata yang indah, tetapi layanan yang sederhana dan ikhlas. Daripada pertemuan yang pada mulanya biasa-biasa, sedikit demi sedikit satu rasa mula hadir. Perasaan yang pada awalnya sekadar selesa berubah menjadi sesuatu yang lebih sukar untuk dijelaskan. Rasa disayangi mula hadir dalam perkara kecil dalam pertanyaan ringkas tentang hari yang dilalui, dalam kehadiran seseorang yang sentiasa ada ketika diperlukan dan dalam perhatian yang tidak pernah dipinta.
Kerana cinta tidak semestinya hadir dengan sesuatu yang besar. Kadangkala ia datang perlahan-lahan seperti hujan renyai yang membasahi hati tanpa disedari. Sedikit demi sedikit, rasa yang asing menjadi rindu. Yang pada awalnya sekadar mengambil berat, akhirnya mula menjadi seseorang yang sentiasa dicari.
Namun kehidupan bukan sebuah kisah dongeng yang sentiasa indah. Saat hati mula belajar untuk membuka ruang kepada seseorang, pada waktu yang sama manusia juga membuka ruang untuk terluka. Ada cinta yang mula berputik. Ada rasa bahagia yang mula tumbuh. Tetapi hadir juga rasa kecewa dan pengkhianatan apabila cinta yang diharapkan akhirnya ditolak.
Kerana antara luka yang paling sukar untuk dijelaskan adalah apabila seseorang membuatkan kita percaya bahawa kita akhirnya dihargai dan disayangi, tetapi akhirnya kita terpaksa menerima bahawa tidak semua rasa yang hadir akan berakhir dengan kebahagiaan. Rasa dikhianati itu kadangkala bukan datang daripada pembohongan, tetapi apabila seseorang terpaksa memilih antara hati dan dunia yang sedang dipertahankannya.
Inilah yang menjadikan “Kata Hati” begitu dekat dengan realiti kehidupan. Penonton bukan sekadar akan melihat kisah cinta antara seorang pelakon wanita dan pemandu e-hailing, tetapi mereka akan melihat sebahagian daripada kehidupan mereka sendiri. Ada yang mungkin pernah bertahan dalam hubungan yang memenatkan. Ada yang pernah hadir pada waktu yang salah dalam hidup seseorang. Dan ada juga yang pernah merasakan bagaimana indahnya disayangi sebelum akhirnya belajar menerima kehilangan.
Menariknya, semua emosi ini tidak dipersembahkan secara terlalu berat. Sebaliknya, filem ini turut dipenuhi dengan elemen humor yang menjadikan perjalanan cerita lebih santai dan menghiburkan. Akan ada momen yang membuatkan penonton ketawa besar, tersenyum sendiri dan mungkin juga tersenyum sinis kerana situasi yang dipaparkan terasa terlalu dekat dengan kehidupan harian mereka. Mungkin ada penonton yang akan berkata, “Macam pernah jadi dekat aku.” Mungkin juga ada yang diam seketika kerana terlalu memahami rasa itu.
Bagi menghidupkan perjalanan emosi ini, “Kata Hati” menampilkan barisan pelakon yang terdiri daripada gabungan wajah muda dan nama-nama besar industri. Watak Ayra Natasha dibawakan oleh Nia Atasha yang memegang tanggungjawab besar sebagai tunjang utama cerita. Sebagai seorang pelakon yang semakin mendapat perhatian, Nia membawa karakter Ayra yang bukan sekadar cantik dan popular, tetapi juga mempunyai sisi rapuh yang menyimpan pelbagai konflik dalam dirinya.

Watak Imran Firdaus pula dibawakan oleh Yusof Hashim yang tampil sebagai seorang lelaki sederhana tetapi mempunyai keikhlasan yang mampu menyentuh hati. Karakternya mungkin tidak memiliki kemewahan atau populariti, namun kehadirannya menjadi tempat seseorang kembali berasa dihargai. Sementara itu, Fazziq Muqris memegang watak Zayn Mikhail, seorang pelakon terkenal yang mempunyai hubungan rumit bersama Ayra dan menjadi antara pencetus konflik utama dalam kisah ini.
Turut memperkuatkan lagi barisan pelakon ialah Scha Alyahya sebagai Maya, kakak kepada Ayra yang juga merupakan pengurusnya. Kehadiran Maya bukan sahaja menjadi individu yang mengurus perjalanan kerjaya Ayra, tetapi juga memainkan peranan penting dalam perkembangan hidup adiknya itu. Selain itu, filem ini turut dibarisi Taqim Zaki, Norreen Iman, Razib Salimin, Nina Kho, Naylaa Julianne dan Nu’man Salleh yang masing-masing membawa karakter tersendiri.
Lebih menarik, “Kata Hati” turut menampilkan kemunculan istimewa beberapa nama besar industri seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Aziz M. Osman, Adriana Adnan, Bella Rahim, Ceddy Ang dan Shweta Sekhon yang pastinya menambahkan lagi kemeriahan filem ini.
Selepas menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos 2025, filem “Kata Hati” kini bersedia untuk menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026. Dengan gabungan elemen romantik, komedi dan emosi yang dekat dengan kehidupan sebenar, filem ini dijangka membawa penonton melalui pelbagai rasa daripada ketawa melihat momen-momen mencuit hati, tersenyum sendiri dengan situasi yang terasa begitu dekat dengan realiti, sehinggalah menyelami detik-detik yang mampu menyentuh emosi. Seperti kisah kehidupan yang tidak pernah hadir dengan satu warna sahaja, “Kata Hati” menjanjikan sebuah perjalanan yang dipenuhi gelak tawa, air mata dan keindahan sebuah perasaan yang hadir tanpa diduga.
Dengan gabungan kisah yang dekat dengan realiti, elemen romantik yang menyentuh hati, humor yang menghiburkan serta barisan pelakon yang segar dan berpengalaman, “Kata Hati” hadir bukan sekadar untuk membuatkan penonton ketawa atau menangis semata-mata. Ia hadir untuk mengingatkan bahawa kadangkala hati sebenarnya sudah mengetahui jawapannya terlebih dahulu. Cuma kita terlalu sibuk mendengar suara orang lain sehingga terlupa mendengar suara hati sendiri.



