KUALA LUMPUR – Wanita PKR memandang serius terhadap tindakan dan pendekatan politik “dua kolam” atau bermuka-dua yang dilihat sedang dimainkan oleh segelintir pimpinan.
Setiausaha Wanita Sangetha Jayakumar mengingatkan, permainan politik seumpama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan parti, malah mengkhianati kepercayaan anggota akar umbi yang telah bertungkus-lumus membina wadah perjuangan ini.
“Wanita PKR menegaskan bahawa kesetiaan kepada prinsip perjuangan PKR dan agenda reformasi adalah asas utama yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pimpinan mahupun ahli parti, terutamanya mereka yang telah diberi mandat oleh rakyat di atas tiket parti.
“Dengan ini, kami mendesak individu-individu berikut Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Ahli Parlimen Balik Pulau), Zahir Hassan (Ahli Parlimen Wangsa Maju), Kesavan Subramaniam (Ahli Parlimen Sungai Siput) dan Lee Chean Chung (Ahli Parlimen Petaling Jaya) untuk menghentikan serta-merta sebarang gerakan politik yang berpaksikan kepentingan peribadi mahupun cubaan bermain di dua alam parti yang berbeza. ‘
“Kehadiran mereka di majlis pengumuman pengumuman pimpinan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menyebabkan kedudukan dan kesetiaan mereka dipersoal oleh kepimpinan serta akar umbi PKR.
“Sekiranya idealisme dan hala tuju masa depan individu-individu ini sudah tidak lagi selari dengan prinsip institusi Presiden dan KPI perjuangan PKR, jalan paling terhormat adalah untuk mereka melepaskan keanggotaan parti secara sukarela dengan serta-merta tanpa perlu terus menjadi duri dalam daging,” selar Sangetha dalam kenyataan media pada Khamis.
Tegas beliau lagi, sekiranya desakan ini tidak diendahkan dan tindakan berbaur khianat ini terus berlarutan, Wanita PKR tidak akan teragak-agak untuk mendesak Lembaga Disiplin Parti dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil tindakan paling tegas, termasuk memecat keanggotaan mereka demi menjaga keutuhan serta kesucian perjuangan parti.
“PKR tidak dibina untuk menjadi batu loncatan bagi mana-mana individu yang mahu mengutamakan kelangsungan politik peribadi melebihi agenda besar rakyat dan parti.
“Pengajaran lalu telah mematangkan kita tiada ruang lagi untuk pengkhianatan berbentuk baharu di dalam rumah reformasi ini,” ujarnya.



