KUALA LUMPUR – Dulu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijadikan modal politik bertahun-tahun untuk menyerang kerajaan lama.
Namun sekarang, wang pemulihan aset 1MDB pula dimasukkan sebagai sebahagian daripada hasil bukan cukai kerajaan, dakwa pempengaruh media sosial ‘Lim Sian See’ atau nama sebenarnya Eric See To.
“Maknanya, skandal yang dulu digunakan untuk menghentam Najib kini nampaknya turut membantu mencantikkan angka fiskal kerajaan hari ini.
“Ironi tahap gila. Sepatutnya refund kepada Datuk Seri Najib Razak paling adil, sebab dulu kamu semua salahkan dia sebab dana 1MDB hilang tetapi kini ada wang lebih, kamu gasak pula tapi masih mahu menjaja cerita 1MDB rugi besar,” dakwanya dalam hantaran di Facebooknya.
Beliau mempertikai adakah duit amanah 1MDB pun Madani sanggup dikorek untuk tampung perbelanjaan kerajaan?
“Ini pertama kali saya nampak perkara sebegini muncul dalam laporan MOF Suku 1 2026 yang dikeluarkan semalam.
“Dan ia makin menguatkan hujah saya bahawa kerajaan sebenarnya sudah pun “untung besar” daripada isu 1MDB.
“Dalam laporan fiskal Q1 2026, hasil bukan cukai naik 22.9% kepada RM18.8 bilion. Antara puncanya disebut jelas: dividen BNM, dividen PETRONAS, dan pindahan daripada Asset Recovery Trust Account.
“Masalahnya, Asset Recovery Trust Account ini bukan tabung duit raya kerajaan.
“Setakat yang diketahui umum, akaun ini merujuk kepada akaun amanah pemulihan aset 1MDB/SRC, iaitu wang yang berjaya dipulangkan selepas skandal 1MDB. Ini wang dalam akaun AMANAH.
“Wang ini sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan hutang dan obligasi berkaitan 1MDB/SRC, bukan untuk cantikkan angka hasil kerajaan atau menampung belanja biasa kerajaan.
“Jadi, berapa jumlah sebenar yang dipindahkan daripada akaun ini? soalnya lagi.
Namun kata Sian See, Pakatan Harapan (PH) masih menggunakan naratif bahawa Malaysia kononnya terus rugi besar akibat 1MDB, termasuk sebagai alasan kenapa subsidi RON95 untuk T20 tidak patut dimansuhkan.
“Persoalannya, sampai bila isu ini mahu terus digunakan untuk mengelirukan rakyat?
“SPRM sendiri menyatakan bahawa sebanyak RM31.3 bilion dana berkaitan 1MDB telah berjaya diperoleh semula melalui pelbagai perjanjian penyelesaian dan pemulangan dana.
“Perlu diingat, dana 1MDB asalnya datang daripada pinjaman. Dalam masa yang sama, 1MDB juga sudah – Membayar kerajaan untuk tanah Sg Besi itu; menggunakan dananya sendiri untuk membina serta menaik taraf lapan pangkalan keselamatan negara, termasuk pembinaan pangkalan TUDM terbesar Malaysia di Sendayan, sebagai sebahagian syarat pembelian tanah tersebut selain bayaran tunai.
“Juga melaksanakan kerja perancangan dan pembangunan awal ke atas tanah tersebut; membayar duti tanah berkaitan serta menanggung sendiri kos faedah pinjamannya. Baru tanah Sungai Besi itu menjadi projek Bandar Malaysia,” katanya.
Sian See menambah, selepas itu, Kerajaan Madani pula menjual projek itu kepada Petronas melalui KLCC Holdings dengan nilai RM12 bilion. Maka wang ini sepatutnya masuk ke akaun amanah berkaitan 1MDB.
“Kiraannya mudah: RM31.3 bilion dana diperoleh semula melalui SPRM.
“RM12 bilion hasil penjualan tanah Bandar Malaysia. Jumlah: RM43.3 bilion.
“Itu belum termasuk nilai aset projek TRX, tanah di Pulau Pinang dan tanah di Pulau Indah,” dakwa beliau.



