Oleh Zihan Zari
IPOH – Keberhasilan program khidmat komuniti adalah bukti nyata tentang kelebihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang melangkaui bilik kuliah, kata Timbalan Pengarah Akademik (TPA) Politeknik Ungku Omar (PUO), Norman Zamri.
Norman berkata TVET bukan sekadar melahirkan tenaga kerja, malah ejen transformasi masyarakat. Melalui kemahiran ‘hands-on’ seperti pemasangan solar dan pengimpalan yang dilakukan.
“Kita dapat melihat bagaimana graduan TVET mampu memberi solusi teknikal secara langsung kepada permasalahan komuniti.
“Ini menjadikan masyarakat kita lebih mandiri dan tidak hanya bergantung kepada pihak luar, ”katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat di Maahad Darus Salam, Tambun dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) PUO, Mohd Saiful Saleh, dan Pengarah Program.
Zamri berkata pendedahan sebegini dapat melahirkan graduan yang mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi merupakan satu elemen kritikal dalam membina modal insan yang seimbang.
Tambahnya, program ini membuktikan bahawa TVET mampu memacu budaya kerja sukarela yang profesional, sekaligus membantu mengurangkan kos penyelenggaraan bagi institusi komuniti seperti maahad ini.
Dalam pada itu, PUO terus memperkukuh komitmennya menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program khidmat komuniti berimpak tinggi ini yang bertemakan ‘Indahnya Berkongsi, Bahagianya Memberi’ merupakan kesinambungan fasa dua yang dilaksanakan pada 11 Mei menyusuli fasa pertama telah berjaya direalisasikan pada 27 April lalu.
Menerusi inisiatif ini, para pelajar PUO bukan sahaja turun padang untuk menyumbang tenaga, malah mengaplikasikan kemahiran teknikal yang dipelajari di bilik kuliah terus kepada komuniti.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuklah pemasangan lampu solar di sekitar kawasan maahad bagi meningkatkan aspek keselamatan, kerja-kerja mengimpal meja makan bagi kegunaan harian pelajar, serta perkongsian ilmu sukan sunnah melalui tunjuk ajar asas memanah.
Penyampaian sumbangan ikhlas dari warga PUO berupa pakaian, barangan keperluan asas, serta wang tunai diserahkan khusus kepada pihak pentadbiran dan anak-anak yatim di Maahad Darus Salam.
Pihak Maahad Darus Salam turut menzahirkan penghargaan atas usaha murni ini oleh PUO yang secara tidak langsung membantu menaik taraf kemudahan infrastruktur mereka.
Kerjasama strategik seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi merapatkan jurang antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat menerusi aktiviti CSR yang berimpak positif, mampan, dan berterusan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.-SUARA.TV



