KUALA LUMPUR – Sekitar 8,000 orang telah mendaftar sebagai ahli Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dalam tempoh 24 jam.
Datuk Seri Rafizi Ramli yang baru mengambil alih parti BERSAMA itu berkata, meskipun parti itu baru dan kecil namun ia memiliki semangat ‘kancil’.
“Kita memang parti yang baru dan kecil, tapi kita ada semangat kancil. Insya-Allah kita diberi kemudahan untuk mengembangkan parti ini kepada rakyat Malaysia yang berpandangan macam kita.
“Ada yang mesej saya selepas saya mengosongkan kerusi parlimen Pandan semalam, katanya, kalau buat parti baru tolong beritahu, dia nak join. Memang saya dah bergerak atas platform parti baru.
“Nama parti itu BERSAMA, atau kalau nak mudah, ingat Kancil.
“Macam mana nak jadi ahli? Pergi ke laman https://bersama.org – isi borang, boleh buat sumbangan, boleh beli merchandise Kancil.
“Saya minta maaf ada kes yang pendaftaran bermasalah dan tidak dapat dihantar semalam. Jangan bimbang, pendaftaran itu tidak hilang. Anda akan dapat email dari BERSAMA untuk sambung pendaftaran.
“Ada juga yang nombor telefon salah dan OTP tidak dapat dihantar. Bila dapat email BERSAMA untuk sambung pendaftaran, masukkan nombor telefon yang tepat.
“Permohonan keahlian akan disahkan oleh BERSAMA. Jawatankuasa akan bermesyuarat setiap hari untuk meluluskan permohonan, supaya permohonan keahlian diluluskan dalam tempoh 48 jam.
“Setelah diluluskan, anda akan dapat email pengesahan dan nombor keahlian.
“Kad keahlian akan dihantar secepat mungkin. Kami dalam proses menyediakan dan mencetak kad-kad keahlian untuk dihantar melalui pos,” jelas Rafizi.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan setakat ini.
“Saya harap momentum ini akan diteruskan. Tolong beritahu kawan-kawan dan keluarga untuk sertai BERSAMA.
“Bagi yang rajin menulis, post komen dan pandangan anda di media sosial, Whatsapp dan Telegram, asalkan disertakan pautan BERSAMA di https://bersama.org,” ujarnya.



