Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Komitmen Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang memperkasa harta intelek khususnya dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya meraih Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek pada Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 di Dewan Mutiara, Menara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), dekat sini baru-baru ini.
JPPKK dalam kenyataan berkata anugerah bagi kategori Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan atau Negeri itu berupa hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan, telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali kepada Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Hjh. Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN; Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar; Pengerusi MyIPO, Riduan Rubin; dan Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff.
“Pengiktirafan ini hasil komitmen berterusan dalam memperkasa ekosistem harta intelek secara strategik dan menyeluruh di peringkat politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).
“Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 1,525 produk telah berjaya difailkan dan didaftarkan sebagai harta intelek, mencerminkan peningkatan signifikan dalam pembudayaan inovasi serta perlindungan IP dalam kalangan warga POLYCC, ”kata kenyataan itu.
Katanya, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan dan pemerkasaan harta intelek antaranya, Bengkel Penderafan Paten (Bimbingan Langsung) bagi pembangunan bakat, penganjuran Karnival Harta Intelek sebagai platform meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan kepentingan perlindungan IP.
Selain itu, pameran reruai IPR Market Place sempena Festival of Ideas Putrajaya sebagai medium pemerkasaan dan pengkomersialan harta intelek.
Ujarnya, penganjuran Forum Harta Intelek sebagai platform perkongsian ilmu kepada warga POLYCC, komuniti dan industri, serta kolaborasi strategik melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MyIPO.
Pada majlis yang sama, Kolej Komuniti Pagoh, Johor turut berjaya merangkul Pingat Emas bagi Kategori InoReka (Reka Bentuk Perindustrian).
“Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi produk ‘Pouch Sampul Warisan’ yang merupakan salah satu daripada rangkaian produk komersial ‘Batu Seremban Game Kit’ oleh kolej komuniti berkenaan.
“Produk tersebut berjaya dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan di pasaran, sekali gus membuktikan bahawa inovasi berasaskan warisan tempatan mampu diterjemahkan kepada produk bernilai tinggi serta memberi impak ekonomi.
“Penghasilan dan pengkomersialan produk itu turut disokong melalui pembiayaan dana ‘TVET Applied Commercialization Grant Scheme’ (T-ACGS) pada tahun 2025 yang telah membantu memperkukuh keupayaan produk untuk menembusi pasaran, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, kejayaan-kejayaan ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberi penekanan terhadap pembudayaan inovasi, pengkomersialan penyelidikan dan pengukuhan ekosistem bakat berteraskan teknologi.
“Sebanyak 552 penyertaan direkodkan pada penganjuran tahun ini yang menggambarkan perkembangan positif ekosistem inovasi dan daya saing institusi tempatan dalam landskap harta intelek nasional, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV



