KUALA LUMPUR – Ketua DAPSY Woo Kah Leong menyelar Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh supaya tidak berpolitik seperti lalat buta.
Kah Leong yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan mengingatkan Akmal supaya tidak main tembak dan memusuhi sesetengah golongan sahaja kerana disifatkan sangat tidak profesional.
“Tidak kiranya golongan apa-apa pun, sebenarnya semua pun terkesan dengan impak perang Asia Barat.
“Kuota BUDI95 untuk rakyat Malaysia tidak harus dikurangkan dalam keadaan kini, tidak kiranya terhadap golongan B40, biarpun M40 ataupun T20.
“T20 mungkin nampak kaya, namun sebenarnya hanya merupakan golongan berpendapatan tinggi yang majoritinya mempunyai tanggungan yang banyak dan komitmennya turut tidak kurang, termasuklah kena membayar gaji pekerja dan sebagainya,” bidas Adun Pasir Bedamar itu.
Kah Leong mengingatkan Akmal bahawa, parti politik yang bertanggungjawab adalah wajib berdiskusi dan membuat keputusan selepas mengambil pertimbangan segala aspek.
“Belajarlah daripada Setiausaha Agung parti sendiri (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) dalam memberikan pandangan sedemikian, seperti langkah mentafsir definisi golongan T20, bukannya bertindak seolah-oleh Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
“Dengan retorik yang ingin mengembalikan GST yang akan membebankan golongan B40, berpura-pura sebagai pejuang B40 pun tak ke mana sebenarnya.
“Tapi apa yang boleh diharap daripada Exco bertaraf golok kayu sedemikian, bila tak jadi serang T20, pula serang entiti lain, seumpama lalat buta. Daripada sembang kencang, lebih baik menunaikan janji untuk meletakkan jawatan Exco.
“Kan nak letak jawatan dan fokuskan lawan DAP? Dah masuk bulan Mei kini.
“Apabila sudah cakap tak serupa bikin, maka usahlah berpanjang lebar dan menuding jari terhadap perihal lain,” tempelak Kah Leong lagi.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh semalam mengingatkan Kerajaan Madani supaya mengurus krisis bukan dengan pendekatan pukul rata yakni beranggapan semuanya sama.
Adun Merlimau itu menegaskan, kerajaan tidak wajar mengurangkan subsidi minyak untuk rakyat yang memerlukan.
Tetapi katanya bertindak menambah subsidi mereka dan ambil dari pihak yang tidak memerlukan seperti golongan yang gajinya berbelas ribu.
“Bila ada yang beritahu, mereka yang berbelas ribu ini pun membayar cukai, ya itu sangat benar, tetapi jika dibandingkan jumlah subsidi petrol sebanyak RM400/sebulan untuk mereka ini dengan mereka yang bergaji RM1700/sebulan sudah tentu kesannya amat besar untuk golongan yang bergaji rendah.
“Jika golongan yang bergaji besar ini merungut bahawa mereka ini adalah penyumbang cukai terbesar juga, mereka juga perlu ingat, jika bukan kerana golongan yang bergaji rendah ini yang menjadi pekerja mereka belum tentu lagi mereka mampu untuk dapat gaji yang besar itu.
“Dan orang yang pertama perlu dipotong subsidi minyak adalah semua wakil rakyat dan boss GLC/GLIC yang dah ada elaun kenderaan beribu nilainya,” saran beliau.



