Tengku Mahkota Pahang beri pantun untuk ingatan Perdana Menteri

KUANTAN, – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan agar negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu eksport pasir sungai.

Dalam kenyataan media ringkas bertarikh 8 Mei 2026 yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz, Kuantan, baginda bertitah telah mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda.

Kenyataan itu turut disertakan dengan serangkap pantun yang dilihat sebagai ingatan halus kepada Perdana Menteri.

“Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.”

Terdahulu, Tengku Hassanal ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang menzahirkan kekecewaan apabila kerajaan Persekutuan tidak meluluskan usaha kerajaan negeri menambah hasil melalui eksport pasir sungai.

Baginda dilaporkan bertitah, Pahang mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung dan terdapat banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan bagi melancarkan aliran air sungai serta mengurangkan risiko banjir.

Menurut baginda, Pahang sebelum ini mampu memperoleh hasil puluhan juta ringgit melalui eksport pasir ke luar negara, namun kerajaan Persekutuan tidak lagi membenarkannya sedangkan hasil tanah dan pasir merupakan hak negeri.

Isu tersebut turut mendapat sokongan kerajaan negeri apabila Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan sokongan penuh terhadap titah Tengku Mahkota Pahang supaya isu eksport pasir sungai diteliti secara menyeluruh oleh kerajaan Persekutuan.

Wan Rosdy berkata, perkara itu bukan sahaja berpotensi menambah hasil negeri, malah penting dalam aspek pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika mengulas perkara tersebut sebelum ini berkata kerajaan Persekutuan perlu melihat isu berkenaan secara menyeluruh termasuk aspek kelulusan, alam sekitar dan kepentingan nasional.

Namun kenyataan terbaharu Tengku Hassanal itu dilihat memberi mesej jelas bahawa Pahang mahu hak dan kepentingan negeri diberi pertimbangan adil, khususnya dalam isu hasil bumi, pengurusan sungai dan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat