KUANTAN, – UMNO Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Menteri Besar Pahang berhubung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, Dato Sri Shahaniza Shamsuddin berkata, titah baginda jelas mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap masa depan pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kepentingan strategik Pahang untuk jangka panjang.
Menurut beliau, isu eksport pasir sungai wajar diteliti secara menyeluruh berdasarkan fakta, kajian teknikal, kepentingan alam sekitar serta hak negeri sebagaimana dizahirkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri menunjukkan komitmen untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bertanggungjawab, seimbang dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kelestarian negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahaniza turut menjunjung kasih atas keprihatinan Tengku Mahkota Pahang yang sentiasa mengikuti isu-isu melibatkan kepentingan negeri dan rakyat.
Beliau berkata, UMNO Pahang yakin di bawah kepimpinan Wan Rosdy, segala perkara yang dibangkitkan akan ditangani dengan penuh hikmah, tertib dan berpandukan lunas undang-undang serta kepentingan negeri.
Isu eksport pasir sungai menjadi perhatian selepas Tengku Hassanal menitahkan supaya Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama dalam perkara melibatkan hasil negeri, pengurusan sungai dan kepentingan rakyat.



