Oleh Zihan Zari
MELAKA – Penemuan spesies endemik, spesies nadir serta spesies terancam melalui ekspedisi yang dilaksanakan sepanjang tahun 2025 membuktikan bahawa kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) negara berfungsi sebagai refugia biodiversiti yang amat kritikal, kata Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Hj. Zahari Ibrahim.
Zahari berkata dapatan saintifik ini bukan sekadar data penyelidikan, bahkan merupakan asas penting dalam proses membuat keputusan, khususnya untuk diintegrasikan ke dalam Rancangan Pengurusan Hutan bagi memastikan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan terus diperkukuhkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2026 di Ballroom, Aras 7, Swan Garden Resort Hotel, Jalan KSB 2, Taman Kota Syahbandar, dekat sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM, Dato’ Hj. Roslan Rani; Pengarah Bahagian Silvikultur & Pemeliharaan Biologi Hutan JPSM, Dr. Aldrich Richard; Pengarah Perhutanan Melaka, Khirun Nizam Abdul Rahim; dan Pengarah Perhutanan Pulau Pinang, Muhamad Azizun Jaafar.
Seminar anjuran JPSM yang berlangsung pada 5 hingga 6 Mei 2026 merupakan platform pembentangan hasil penemuan daripada siri ekspedisi saintifik yang dilaksanakan sepanjang tahun 2025 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Melaka dan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang.
Menurut Zahari seminar kali ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan apabila berjaya menghimpunkan sebanyak 36 kertas pembentangan yang merangkumi pelbagai aspek flora, fauna serta persekitaran fizikal hasil daripada ekspedisi saintifik yang telah dijalankan di tiga HSK di Melaka dan dua di Pulau Pinang.
Menurutnya lagi, seminar ini menyediakan platform ilmiah yang amat signifikan untuk menghimpunkan para sarjana, penyelidik, penggubal dasar, pengurus sumber hutan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi berkongsi hasil kajian, menilai penemuan saintifik serta memperhalusi pendekatan pengurusan biodiversiti secara kolektif.
“Di peringkat nasional, seminar ekspedisi saintifik ini menyokong secara langsung aspirasi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022– 2030 dan Dasar Perhutanan Malaysia yang menekankan pemuliharaan biodiversiti, penggunaan sumber secara lestari dan pengukuhan rangkaian ekologi negara.
“Usaha ini juga bertepatan dengan matlamat Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) dalam mengekalkan kawasan sensitif alam sekitar dan memperkukuh koridor ekologi negara bagi menjamin kelangsungan fungsi ekosistem.
“Pemeliharaan biodiversiti oleh JPSM melalui ekspedisi ini merupakan sebahagian daripada sumbangan Malaysia kepada agenda pemuliharaan dunia.
“Pada masa yang sama, peranan hutan sebagai penyerap karbon semula jadi amat penting dalam membantu negara memenuhi komitmen Nationally Determined Contributions (NDC) di bawah Perjanjian Paris untuk menangani perubahan iklim global,”katanya.
Katanya lagi, elemen Perhutanan Sosial perlu terus diperkasakan dengan melibatkan komuniti setempat sebagai rakan strategik dalam pemeliharaan biodiversiti. Pendekatan ini bukan sahaja membantu melindungi warisan semula jadi negara, malah memastikan manfaat ekonomi daripada pengurusan biodiversiti dapat dinikmati secara inklusif, adil dan berpanjangan oleh masyarakat.
“Menjelang Sambutan Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa pada 22 Mei ini bertemakan ‘Acting Locally for Global Impact’, saya menyeru agar segala dapatan, penemuan dan resolusi seminar ini diterjemahkan kepada tindakan praktikal di lapangan.
“Ilmu yang diperoleh tidak seharusnya terhenti sebagai dokumentasi akademik semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan asas kepada penggubalan dasar yang lebih responsif, dinamik dan berkesan, ”ujarnya.
Dalam pada itu, hasil pembentangan seminar ini merekodkan beberapa penemuan signifikan, termasuk penemuan spesies burung enggang badak (Rhinoceros hornbill) berstatus terancam (Vulnerable) di Melaka.
Selain itu, tiga spesies burung berstatus Hampir Terancam (Near Threatened) iaitu burung kunyit bakau (Aegithinaviridissima), burung daun kecil (Chloropsis cyanopogon) dan burung kekicau ekor pendek (Pellorneum malaccense) turut direkodkan di Pulau Pinang.
Daripada aspek flora, penemuan spesies flora endemik Schismatoglottis cordifolia, spesies liana Embelia canescens var. glabrescens yang berstatus terancam serta spesies liana jarang ditemui Dinochloa sipitangensis membuktikan kekayaan biodiversiti yang masih wujud dalam kawasan HSK.
Menariknya, spesies pokok pulai endemik Alstonia penangiana turut ditemui di Pulau Pinang. Penemuan spesies-spesies ini membuktikan bahawa keadaan persekitaran HSK di Melaka dan Pulau Pinang masih berada dalam keadaan baik serta berupaya menyokong kemandirian dan taburan spesies biodiversiti walaupun keluasan hutan di kedua-dua negeri ini adalah terhad.
Seminar ini turut menyaksikan pelancaran buku mewah bertajuk ‘Celebrating 25 Years Forest Frontier Discoveries’ sempena penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan oleh JPSM sejak tahun 1999.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 50 siri ekspedisi telah dilaksanakan merangkumi pelbagai ekosistem hutan dan berjaya merekodkan pelbagai penemuan penting termasuk spesies baharu, endemik dan unik.
Penerbitan buku ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan sebagai khazanah semula jadi negara, di samping menyokong usaha berterusan dalam memelihara biodiversiti untuk generasi akan datang.
Dalam perkembangan sama, pembentangan rumusan seminar ini telah disampaikan oleh Ketua Penyelidik Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2026, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad.
Dr. Abdul Latiff mempunyai kepakaran, pengalaman luas serta sumbangan beliau dalam bidang biodiversiti hutan bukan sahaja memperkukuh kualiti dapatan ekspedisi, malah menjadi panduan penting dalam usaha kita mendokumentasi, memelihara dan memperkasakan khazanah semula jadi negara untuk generasi masa hadapan. – SUARA.TV



