BN tak cadang tukar Aminuddin sebagai MB – Zahid

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak mencadangkan penukaran Menteri Besar Negeri Sembilan yang kini masih disandang Datuk Seri Aminuddin Harun dari PKR.

Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tegas menolak kepemimpinan Aminuddin sebagai Menteri Besar, BN masih mengambil pendirian jelas iaitu menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pendirian berkenaan bukan bertujuan menolak kepemimpinan Aminuddin secara keseluruhan, sebaliknya berkaitan isu campur tangan dalam hal adat di negeri itu.

“Itu bukan pendirian (Umno) Negeri Sembilan sahaja, itu juga pendirian kita.

“Bukan menolak, tetapi kita tidak mendukung selagi beliau (Aminuddin) campur tangan di dalam undang-undang adat di Negeri Sembilan.

“Dan kita mahu supaya soal ‘co-rulers’ di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat itu harus dihormati dan biarlah mereka yang menyelesaikan masalah itu,” katanya selepas melancarkan Pelan Dasar Tindakan Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), lapor Harian Metro pada Khamis.

Ditanya sama ada Menteri Besar Negeri Sembilan perlu ditukar susulan isu berkenaan, Zahid menegaskan tiada sebarang cadangan dibuat setakat ini.

“Tidak ada cadangan,” katanya ringkas.

Semalam, Umno Negeri Sembilan dilaporkan menyuarakan pendirian menolak kepemimpinan Aminuddin berhubung isu berkaitan adat dan institusi pemerintahan di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Mustapha Nagoor dipetik berkata, pihaknya menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di negeri itu seperti diputuskan Biro Politik Umno dan Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan (PH).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat