Laung ‘tolak Umno’ sekadar reaksi akar umbi PH tak faham situasi – Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan laungan ‘tolak Umno’ ketika Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Negeri Sembilan malam tadi, sebagai reaksi akar umbi yang mungkin tidak memahami sepenuhnya pendirian Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, beliau menghormati pendirian pimpinan tertinggi PH yang disifatkan memahami situasi serta isu sebenar membabitkan hubungan antara parti dalam gabungan kerajaan.

Katanya, himpunan berkenaan dianjurkan PH dan kumpulan sasarannya adalah dalam kalangan parti komponen serta penyokong gabungan itu sendiri.

“Mereka sudah memaklumkan kepada saya. Kumpulan sasarannya adalah parti dan ahli komponen dalam PH.

“Jadi bukan soal jemput atau tidak dijemput, tetapi crowd itu adalah crowd mereka (PH),” katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) lapor Harian Metro pada Khamis.

Beliau berkata, beliau turut meneliti setiap ucapan pimpinan PH dalam himpunan berkenaan dan menghargai pendekatan matang yang ditunjukkan pemimpin utama gabungan itu di peringkat Persekutuan serta negeri.

“Saya sudah perhatikan dalam kalangan pimpinan atasan parti-parti komponen dalam PH, mereka sangat memahami duduk perkara dan isu ini.

“Saya menghargai pemimpin utama parti-parti dalam PH di peringkat Persekutuan dan juga negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memahami sentimen akar umbi yang melaungkan slogan berkenaan kerana mungkin tidak mendapat gambaran jelas mengenai pendirian sebenar Umno dan BN.

“Tetapi di peringkat akar umbi itu saya faham perasaan mereka kerana mereka mungkin tidak mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang saya nyatakan dan apa pendirian yang dibuat oleh Umno dan BN,” katanya.

Semalam, Umno Negeri Sembilan dilaporkan menyuarakan pendirian menolak kepemimpinan Aminuddin berhubung isu berkaitan adat dan institusi pemerintahan di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapha Nagoor dipetik berkata, pihaknya menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di negeri itu seperti diputuskan Biro Politik Umno dan Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan (PH).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat