Isu belum selesai, Biro Politik hanya putuskan sokong PH, bukan Aminuddin — ADUN BN

SEREMBAN, — Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menegaskan keputusan Biro Politik UMNO Malaysia bukan bermaksud mereka kembali menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

ADUN BN yang mahu kekal tanpa nama itu berkata, ketetapan Biro Politik UMNO hanya meminta wakil rakyat BN terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, bukannya menarik balik pendirian hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Menurutnya, perkara itu jelas disebut dalam kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyatakan UMNO menghormati pendirian ADUN BN Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar.

“Biro Politik UMNO hanya memutuskan supaya ADUN BN terus menyokong Kerajaan Perpaduan. Itu bukan bermaksud kami menyokong Aminuddin.

“Pendirian kami masih sama, iaitu hilang kepercayaan kepada Menteri Besar kerana isu pokok berkaitan cara beliau mengurus krisis institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan belum selesai,” katanya kepada SuaraTV.

Pada 29 April lalu, Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia memutuskan untuk menghormati ADUN BN Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Aminuddin, namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik UMNO yang membincangkan perkembangan mutakhir krisis institusi Raja dan adat Negeri Sembilan, yang mencetuskan polemik besar dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Asyraf dalam kenyataan itu turut memaklumkan UMNO telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Aminuddin kerana didakwa membelakangkan institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

ADUN BN itu berkata, keputusan Biro Politik UMNO sebaliknya memperkukuh tafsiran bahawa isu keyakinan terhadap Aminuddin masih terbuka dan perlu diselesaikan melalui perundingan politik antara UMNO dan Pakatan Harapan.

“Kalau Biro Politik mahu kami menyokong Aminuddin, kenyataan itu tidak akan menyebut UMNO menghormati pendirian ADUN BN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar.

“Jadi jangan diputar seolah-olah isu ini sudah selesai. Yang disokong ialah Kerajaan Perpaduan, bukan individu Menteri Besar,” katanya.

Biro Politik UMNO turut menetapkan satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan perlu diadakan bagi merungkai beberapa isu melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing.

Menurut Asyraf, langkah itu selaras dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan melalui Majlis Perundingan.

Sebelum ini, kesemua 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin susulan kemelut politik dan adat di negeri itu.

Perkembangan terbaru itu dijangka meletakkan kedudukan Aminuddin dalam tekanan politik berterusan, walaupun kerajaan negeri secara teknikal masih mendapat sokongan dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat