KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan untuk tidak membentangkan semula Belanjawan 2026 walaupun negara sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, hal ini kerana Belanjawan yang dirangka sebelum ini tidak lagi mencerminkan realiti ekonomi semasa.
“Perubahan ketara seperti ketidaktentuan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan risiko inflasi memerlukan pelarasan fiskal yang lebih menyeluruh dan telus, bukan sekadar penyelarasan dalaman.
“Tindakan ini menimbulkan persoalan dari segi ketelusan dan akauntabiliti.
“Sebarang perubahan besar dalam perbelanjaan negara sepatutnya dibentangkan semula di Parlimen bagi membolehkan semakan, perbahasan dan kelulusan secara demokratik,” tegas Tun Faisal.
Tindakan kerajaan membuat pemotongan, penyelarasan dan sekatan perbelanjaan di kementerian-kementerian tanpa kerangka baharu boleh membawa kepada salah agihan sumber, sekali gus menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan bantuan kepada golongan rentan, kata beliau.
Jelas Tun Faisal, dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, rakyat memerlukan langkah intervensi yang lebih jelas dan berkesan.
“Ia juga boleh memberi isyarat negatif kepada pasaran dan pelabur kerana pelabur menilai keupayaan kerajaan bertindak balas terhadap krisis.
“Jika kerajaan tidak menyemak bajet dan bersikap telus mengenainya walaupun keadaan berubah, ia boleh ditafsir sebagai kerajaan yang kurang responsif dan tiada perancangan strategik.
“Tanggapan ini berpotensi mengakibatkan keyakinan pelabur terhadap kemampuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani menurun,” tegas Tun Faisal.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, kerajaan tidak bercadang untuk membentangkan semula Belanjawan 2026 ke Parlimen meskipun negara kini berdepan dengan ketidaktentuan global.
Ujar Fahmi, semua kementerian kini sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyemak semula perbelanjaan operasi mereka.
“Setiap kementerian sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan mengenai sedikit penyelarasan dari segi perbelanjaan operasi.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti program dan juga pelaksanaan bagi aktiviti tertentu dalam keadaan Malaysia berdepan dengan cabaran akibat daripada krisis bekalan global.
“Panduan juga sudah diberikan namun perincian akan disusuli antara ketua setiausaha di setiap kementerian bersama dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya.



