KUALA LUMPUR – Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor menuntut tindakan undang-undang paling tegas tanpa kompromi terhadap pelaku terlibat dan jangan ada layanan istimewa kepada mana-mana pihak yang sengaja bermain api dengan sensitiviti rakyat dan kedaulatan Negeri Selangor.
Ketuanya Mohammad Aliff Asyraf Mohd Azhari berkata, dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap prinsip Perlembangaan serta kedaulatan undang-undang, Pemuda Umno Kuala Selangor dengan tegas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang memuat naik hantaran di media sosial berunsur penghinaan terhadap institusi Diraja Selangor.
Tegas beliau, Institusi Diraja bukan sahaja lambang warisan tradisi, malah berperanan penting sebagai payung kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Justeru kata Aliff Asyraf, sebarang cubaan untuk merendahkan martabat insitusi ini adalah tidak wajar dan boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Golongan yang merasakan media sosial adalah gelanggang bebas untuk menabur penghinaan perlu disedarkan bahawa kebebasan bersuara bukan tiket untuk menghina, mencerca atau mencetuskan kebencian. Negara ini mempunyai batas undang-undang, adab serta nilai yang wajib dihormati oleh semua pihak.
“Kami menyeru seluruh rakyat, khususnya generasi muda, agar bangkit menolak budaya menghina seperti ini. Jangan beri ruang kepada mana-mana pihak dangkal yang cuba meraih perhatian murahan dengan mencetuskan provokasi terhadap insitusi negara.
“Kami mahu satu mesej yang tegas dan jelas dihantar kepada semua pihak bahawa budaya menghina, mempersenda, memfitnah serta mencetuskan kebencian di media sosial sama sekali tidak boleh di normalisasikan dalam negara yang berdaulat dan berteraskan undang-undang.
“Sebagai tanda kesungguhan dan pendirian tegas terhadap isu ini, kami Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor akan hadir membuat satu laporan polis pada 27 April 2026 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor agar siasatan segera dapat dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang terlibat. Langkah ini diambil bagi memastikan sebarang penghinaan terhadap Institusi Diraja tidak dipandang ringan dan sentiasa ditangani menurut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Aliff Asyraf, beliau percaya tindakan pantas dan tegas daripada pihak berkuasa akan menjadi pengajaran besar kepada mana-mana pihak lain agar tidak sewenang-wenangnya memainkan isu sensitif yang melibatkan agama, kaum serta Institusi Diraja.
“Kami merafak sembah menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta Institusi Diraja Selangor dalam mempertahankan kedaulatan, kemuliaan dan martabatnya,” katanya.
Terdahulu tular penyebaran gambar suntingan melampau yang dikaitkan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.



