KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Halim Aman yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM yang baharu menggantikan Tan Sri Azam Baki berkuat kuasa 13 Mei ini dinasihatkan untuk menjadikan SPRM benar-benar sebuah institusi berintegriti bukan sumber berita sensasi dan tindakan kuku besi.
Tokoh Wartawan Negara Datuk Abdul Kadir Jasin meletakkan harapan, agar Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menggantikan Azam Baki itu mengurangkan sensasi dan sidang akhbar yang tidak berhenti-henti.
“Kita tengoklah apa rentak silat yang akan beliau persembahkan apabila turun gelanggang nanti.
“Yang menyebelahi Datuk Seri Rafizi Ramli pasti mahu tindakan diambil ke atas Azam Baki.
“Manakala yang sokong Nurul Izzah Anwar, adakah mereka puas hati sekadar reformasi institusi? Banyak orang kata, reformasi sudah basi.
“Harapan saya, kurangkanlah sensasi dan sidang akhbar yang tidak berhenti-henti. Ketua Pesuruhjaya macam selebriti. Kalah Perdana Menteri.
“Jadikan SPRM benar-benar sebuah institusi berintegriti bukan sumber berita sensasi dan tindakan kuku besi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam hantaran bertajuk, buang sensasi tambah integriti, A Kadir berkata, daripada seorang Ketua Pesuruhjaya yang kontroversial kepada seorang Ketua Pesuruhjaya yang hanya beberapa kerat saja tahu.
“Daripada tunjuk perasaan “Tangkap Azam Baki” kepada pertanyaan, siapa Abdul Halim Aman? Demikianlah reaksi orang ramai, khususnya di gelanggang media sosial mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang akan berhenti, Azam Baki, dan penggantinya yang diharap meredakan kritikan, Abdul Halim Aman.
“Satu dunia sudah kenal Azam Baki. Tetapi rasanya, kecuali orang dunia kehakiman, tidak banyak yang kenal Abdul Halim Aman.
“Yang tentu kenal atau setidak-tidaknya pun tahu mengenai beliau adalah Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.
“Saya andaikan begitu kerana Sultan Ibrahim bertitah, Baginda akan pilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.
“Sebaik saja Baginda bertitah demikian, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kata, beliau akan kemukakan senarai kepada Baginda.
“Saya baca juga kenyataan tiga perenggan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, dengan harapan (sebab sekarang zaman Pakatan Harapan) ada maklumat tambahan mengenai Abdul Halim Aman.
“Yang beliau bagi tahu, Perdana Menteri cadangkan dan Yang di-Pertuan Agong perkenan.
“Selain mengatakan Abdul Halim banyak pengalaman dan tinggi integriti, tidaklah pula diberikan maklumat lain mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menunggu itu. Beliau ambil alih 13 Mei,” ujarnya.



