SEREMBAN, – UMNO Negeri Sembilan dilihat mula mengambil jarak politik daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan krisis adat dan perlembagaan negeri yang semakin meruncing selepas penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Perkembangan itu dapat dilihat apabila Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias secara terbuka mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas pendamai bagi menyelesaikan kemelut melibatkan institusi adat dan pentadbiran negeri.
Kenyataan Jalaluddin itu dipetik daripada laporan Sinar Harian hari ini, yang menyebut beliau berpandangan perlu ada tindakan segera bagi mengelakkan krisis berkenaan terus berpanjangan.
Menurut Jalaluddin, jawatankuasa khas itu perlu dianggotai individu berpengaruh serta mempunyai kepakaran dalam bidang adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Bagi saya, perlu ada tindakan segera untuk menyelesaikan kemelut ini, antaranya dengan menubuhkan jawatankuasa khas pendamai.
“Jawatankuasa ini perlulah dianggotai oleh mereka yang berpengaruh dan mempunyai kepakaran dalam adat, khususnya UUTKNS, selain tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi mencari penyelesaian terbaik supaya kemelut ini tidak berpanjangan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang sebelum ini mencadangkan Aminuddin segera mengambil inisiatif memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bagi meredakan krisis semasa.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan kerajaan negeri berkata, situasi semasa tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan kerajaan negeri kerana rakyat terus tertanya-tanya mengenai kedudukan sebenar krisis tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu bukan bermaksud kerajaan negeri mencampuri urusan adat, sebaliknya sekadar memberi pandangan melalui saluran yang betul berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Ia demi kebaikan semua pihak dan kita tidak mahu masyarakat membuat tafsiran sendiri terhadap apa yang berlaku kerana ketiadaan penjelasan daripada pihak sepatutnya.
“Saya sendiri berasa serba salah untuk memberi pandangan, namun sebagai Exco Kanan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Nada kenyataan Jalaluddin itu dilihat signifikan kerana UMNO merupakan rakan kerajaan dalam pentadbiran gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang diterajui Aminuddin.
Lebih menarik, Jalaluddin turut menyentuh secara langsung titah Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang sebelum ini mensabdakan bahawa Aminuddin tidak layak menerajui pentadbiran negeri dan wajar diturunkan.
Menurut beliau, kenyataan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menunjukkan krisis adat yang berlaku sudah berada pada tahap serius.
Tegas Jalaluddin, UMNO Negeri Sembilan tetap berpendirian mempertahankan institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sementara itu, sumber yang enggan dinamakan memberitahu SuaraTV, Jalaluddin bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dipercayai telah mengadakan pertemuan dengan Undang Yang Empat bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai krisis tersebut selepas Sidang DUN ditangguhkan secara mengejut.
Menurut sumber itu, pertemuan berkenaan bukan bertujuan mencampuri urusan adat, tetapi bagi membolehkan wakil rakyat BN memahami kedudukan sebenar sebelum menentukan pendirian politik seterusnya.
“Selepas Sidang DUN ditangguhkan secara mengejut, ada keperluan untuk mereka mendapatkan maklumat terus daripada pihak Undang Yang Empat.
“Ini kerana isu yang berlaku bukan lagi kecil. Ia melibatkan hubungan kerajaan negeri dengan institusi adat,” kata sumber itu.
Krisis Negeri Sembilan semakin mendapat perhatian selepas Istiadat Pembukaan Persidangan DUN baru-baru ini menyaksikan lima kerusi utama di sisi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kosong selepas Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak hadir.
Susulan itu, Aminuddin mengumumkan penangguhan Sidang DUN ke satu tarikh yang belum ditetapkan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran kerajaan negeri. – SuaraTV



