Graduan Menganggur, Gaji Tak Setimpal: Rina Harun Desak Penyelesaian Tuntas

SHAH ALAM – Isu graduan menganggur dan gaji tidak setimpal terus menjadi kebimbangan apabila ramai lepasan universiti masih gagal memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan serta belum mencapai tahap gaji bermaruah.

Bendahari Agung Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Harun berkata, keadaan itu mencerminkan ketidakpadanan antara bidang pengajian dan keperluan pasaran kerja, sekali gus menekan kehidupan golongan muda ketika berucap dalam sesi perbahasan pada Konvensyen Bersatu Negeri Selangor, di sini.

“Masih ada kira-kira 300,000 graduan yang tidak mendapat pekerjaan setimpal dengan bidang yang dipelajari. Malah ramai yang gaji mereka masih belum mencapai tahap gaji bermaruah,” katanya.

Menurut beliau, gaji bermaruah dianggarkan sekitar RM3,000 hingga RM3,800, namun realitinya ramai graduan masih berada di bawah paras tersebut.

Katanya, keadaan itu jauh berbeza berbanding pada tahun 1997 apabila graduan mampu hidup lebih selesa walaupun dengan gaji permulaan lebih rendah.

“Dulu dengan gaji sekitar RM2,000 kita masih boleh hidup selesa. Hari ini kos sara hidup meningkat dengan ketara, tetapi kenaikan gaji tidak seiring,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu ketidakpadanan pekerjaan atau job mismatch perlu ditangani secara serius bagi memastikan graduan tidak terus terperangkap dalam pekerjaan tidak setimpal.

Beliau turut mencadangkan pendekatan lebih praktikal khususnya kepada graduan bidang perniagaan.

“Graduan dalam bidang perniagaan seharusnya digalakkan untuk terus mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memulakan perniagaan seawal mungkin.

“Perniagaan bukan sekadar teori di atas kertas tetapi memerlukan pengalaman sebenar,” katanya.

Tambah beliau, penyelesaian jangka panjang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan dasar ekonomi, sistem pendidikan dan keperluan industri. Katanya, tanpa langkah konkrit, isu gaji rendah dan pengangguran graduan akan terus menjejaskan masa depan generasi muda.

“Ini bukan sekadar isu ekonomi, tetapi soal masa depan negara,” katanya.-Suara TV

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat