CYBERJAYA — Kerajaan bersetuju untuk memperkukuh penguatkuasaan di stesen minyak seluruh negara dengan cadangan penempatan anggota polis, khususnya di kawasan berisiko tinggi dan berhampiran sempadan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April sebagai langkah tambahan bagi menangani isu ketirisan bahan api yang semakin membimbangkan susulan ketidaktentuan bekalan tenaga global.
Menurut beliau, sebelum ini pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pemantauan secara statik di beberapa stesen minyak terpilih, khususnya di kawasan sempadan.
Namun, hasil perbincangan bersama jawatankuasa penyelarasan penguatkuasaan mendapati liputan pemantauan perlu diperluaskan ke lebih banyak lokasi berisiko bagi memastikan kawalan lebih berkesan.
“Dengan kekangan tenaga kerja sedia ada, kerjasama dengan pihak polis amat diperlukan bagi mempertingkat pemantauan, bukan sahaja terhadap bekalan bahan api, malah melibatkan kawalan harga dan barangan keperluan,” katanya.
Dalam fasa pertama yang berlangsung dari 20 Mac hingga 10 April lalu, seramai penguat kuasa KPDN telah ditempatkan di puluhan stesen minyak. Langkah itu akan diperluaskan dalam fasa kedua dengan tambahan lokasi baharu serta penglibatan anggota polis.
Selain itu, kerajaan turut meneliti kemungkinan melibatkan sukarelawan Rela bagi membantu operasi pemantauan di lapangan secara lebih menyeluruh.



