Pertemuan Muhyiddin-Sanusi cetus spekulasi Exco, Timbalan Speaker Kedah dari Bersatu akan ditukar

ALOR SETAR, — Kedudukan wakil Bersatu dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah kini menjadi perhatian selepas tular gambar perbincangan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dirakam semalam.

Perkembangan itu mencetuskan spekulasi kemungkinan berlakunya rombakan dalam barisan Exco serta institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang melibatkan wakil daripada Bersatu.

Spekulasi berkenaan bertambah kuat selepas Sanusi dalam kenyataannya kepada Sinar Harian memaklumkan bahawa butiran perbincangan tersebut “belum sedia untuk diumumkan”, tanpa menjelaskan isu sebenar yang dibincangkan.

Pagi ini pula, Muhyiddin memuat naik gambar beliau menghadap Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, sekali gus menambah dimensi politik terhadap perkembangan semasa di negeri itu.

Ketika ini, Bersatu memegang tiga portfolio Exco negeri, iaitu Datuk Halimaton Shaadiah Saad, Dzowahir Ab Ghani dan Datuk Mohd Salleh Saidin, selain jawatan Timbalan Speaker DUN Kedah.

Dua nama yang dikatakan akan digugurkan ialah Timbalan Speaker yang kini disandang Abdul Razak Khamis, dan Exco Dzowahir Ab Ghani yang dikatakan masih menyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi yang mengesahkan kedudukan kedua-dua tokoh berkenaan, perkembangan semasa terus menghangatkan andaian mengenai kemungkinan penyusunan semula kedudukan wakil Bersatu dalam pentadbiran negeri Kedah.

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri atau pimpinan Bersatu mengenai kemungkinan perubahan tersebut. — SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat