KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak agar bertenang susulan desakan beberapa pemimpin parti itu supaya tindakan diambil terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, fokus sebaliknya perlu diberikan kepada isu ekonomi negara yang lebih mendesak berbanding konflik peribadi.
Menurut beliau, sebagai Presiden parti, sebarang pandangan atau nasihat berkaitan perkara tersebut akan ditangani dengan sewajarnya, namun keutamaan ketika ini adalah kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Tak apalah kita minta semua bertenang dulu, tumpu kepada masalah ekonomi negara yang jauh lebih serius daripada masalah peribadi,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, di Kampung Cheras Baru, lapor MalaysiaGazette.
Terdahulu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR hari ini berkongsi jawapan balas beliau terhadap surat tunjuk sebab yang dikenakan parti terhadap beliau menerusi laman sosial Facebook miliknya.
Menerusi hantaran itu, Ahli Parlimen Pandan berkenaan antara lain berharap Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara itu kerana rakyat sudah mual.
Ujar Rafizi, jika penjelasannya berhubung pertuduhan yang dikenakan dikira telah melanggar Perlembagaan parti, beliau menggesa supaya PKR menjadi seperti sebuah parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ditanya berkenaan kenyataan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang mana negara itu tidak akan terlibat dalam rundingan dengan Iran bagi laluan selamat kapal atau kadar tol di Selat Hormuz, Anwar berkata, perkara itu merupakan pandangan Singapura dan harus dihormati sebagai urusan negara tersebut.
“Itu pandangan Singapura, urusan mereka. Urusan kita, kita berbaik, tetapi kita ambil pendirian tegas,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia konsisten dalam dasar luar negara, termasuk dalam menangani isu antarabangsa seperti konflik Iran dan Israel.
“Kita tidak boleh hanya bincang tindak balas Iran tanpa menyentuh serangan Israel terhadap Iran. Hubungan kita jelas, dan persahabatan dengan negara jiran akan terus dipelihara,” katanya lagi.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan kenyataan Vivian berkenaan yang turut menyebut republik itu berpandangan bahawa laluan melalui Selat Hormuz merupakan hak bagi semua negara dan bukannya keistimewaan yang diberikan oleh negara-negara yang bersempadan dengannya.



