KUALA LUMPUR, — Cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial disifatkan sebagai langkah lebih baik dalam melindungi perkembangan emosi dan mental kanak-kanak serta remaja, menurut pakar psikiatri dan terapi perkembangan.
Pakar Psikiatri Penolong Profesor Dr Hijaz Ridzuan berkata kesediaan digital dalam kalangan remaja bukan sekadar penguasaan teknologi, sebaliknya turut melibatkan kematangan emosi, keupayaan menetapkan batas privasi serta kebolehan mengenal pasti ancaman manipulasi di alam maya.
Menurut beliau, remaja bawah usia 16 tahun secara umumnya masih berada dalam fasa perkembangan emosi yang belum stabil, menyebabkan mereka lebih mudah bertindak secara impulsif dan dipengaruhi emosi berbanding membuat pertimbangan secara rasional.
“Penggunaan media sosial memerlukan tahap kematangan tertentu kerana remaja yang masih muda mudah memuat naik kandungan ketika beremosi tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang, selain mudah terpengaruh dengan rakan sebaya serta tekanan sosial,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Psikiatri, Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata umur 16 tahun merupakan satu aras penting apabila remaja mula menunjukkan peningkatan dalam pemikiran kritikal serta kebolehan menilai risiko termasuk penipuan, manipulasi emosi dan kandungan mengelirukan.
Katanya, konsep kesediaan digital turut merangkumi kefahaman tentang batasan privasi, keupayaan membezakan antara kenalan sebenar dan individu tidak dikenali, serta kawalan diri agar tidak bergantung kepada ‘validation’ seperti jumlah tanda suka dan komen.
“Cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun dilihat sebagai langkah yang lebih baik berbanding tiada kawalan langsung kerana walaupun umur bukan penentu mutlak kematangan, ia memberi ruang kepada pemantauan serta pendidikan yang lebih berkesan sebelum remaja diberikan akses tanpa had kepada dunia digital,” katanya.
Dr Hijaz turut mengingatkan bahawa algoritma media sosial yang direka untuk mengekalkan perhatian pengguna boleh menjadi “perangkap” kepada remaja, terutama apabila pendedahan berulang kepada kandungan tidak realistik menjejaskan keyakinan diri dan persepsi terhadap standard kehidupan atau kecantikan.
Berdasarkan pengalaman klinikal, beliau berkata ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa kes ‘grooming’ atau manipulasi berdepan trauma jangka panjang, cepat marah, sukar mempercayai orang lain dan ada yang mengalami kemurungan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendedahan kepada teknologi masih penting dalam era digital hari ini, khususnya bagi tujuan pembelajaran dan pembangunan kemahiran.
Sementara itu, pakar terapi Applied Behaviour Analysis (ABA) di Fit In Child Development Centre, Shafiq Hamidon berkata pendedahan awal terhadap peranti digital perlu dikawal rapi mengikut peringkat umur bagi memastikan perkembangan kanak-kanak tidak terjejas.
Beliau menyarankan agar kanak-kanak bawah dua tahun dielakkan daripada penggunaan peranti, manakala bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, masa skrin perlu dihadkan kepada satu hingga dua jam sehari serta diseimbangkan dengan aktiviti fizikal dan masa bersama keluarga.
Katanya, isu penggunaan skrin berlebihan dalam kalangan kanak-kanak semakin meruncing apabila ia menyumbang kepada masalah tingkah laku ketara termasuk tantrum berpanjangan, cepat marah dan kesukaran mengawal emosi apabila akses gajet dihadkan.
“Kesilapan utama ibu bapa ialah menggunakan skrin sebagai alat utama untuk menenangkan anak yang sedang mengamuk. Ini mewujudkan kitaran apabila anak-anak belajar bahawa jika mereka buat perangai, mereka akan dihadiahkan dengan skrin,” katanya.
Menurut beliau, fenomena video pendek seperti TikTok dan YouTube Shorts juga menjejaskan tahap fokus kanak-kanak di sekolah kerana mereka cepat bosan dan sukar mengikuti pembelajaran akibat tabiat menatal kandungan secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta mendapatkan intervensi awal termasuk khidmat pakar terapi pertuturan, terapi cara kerja atau pakar pediatrik perkembangan.
Beliau turut menekankan kepentingan strategi yang jelas dalam mengurus penggunaan skrin, termasuk menetapkan jadual masa penggunaan dan menyediakan aktiviti alternatif yang sesuai mengikut umur.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menetapkan masa skrin antara pukul 4 hingga 5 petang dan memaklumkan kepada anak lebih awal, selain menggunakan pemasa bagi membantu anak bersedia secara emosi apabila masa penggunaan hampir tamat. Bernama/SuaraTV



