KUALA LUMPUR – Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menjelaskan permohonan parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dibuat ketika gabungan itu ditunjangi parti Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Vigneswaran, perubahan kepimpinan yang menyaksikan PN kini diterajui Pas memerlukan parti membincangkan semula di peringkat akar umbi berhubung usul penyertaan ke dalam gabungan berkenaan.
Beliau berkata, perbincangan semula itu bukan disebabkan Pas dilihat sebagai parti ekstremis agama, sebaliknya disebabkan perubahan kepimpinan dalam PN.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi MIC berpendapat keputusan mesyuarat agung tahun lalu adalah berdasarkan pada pimpinan PN diterajui Bersatu.
“Sekarang PN diterajui Pas, tapi bukan MIC ada halangan atau ada apa-apa halangan, ia mesti dibawa balik kepada akar umbi balik kerana ada pertukaran pimpinan dalam PN.
“Bukan kita kata parti ekstremis agama atau tak. Ia hanya berdasarkan isu perubahan kepimpinan kerana kita tidak mahu keputusan diambil bercanggah dengan akar umbi,” katanya menurut BH pada Khamis.
Vigneswaran berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026. Perasmian program dua hari itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilapor memaklumkan MIC membuat permohonan untuk menjadi anggota gabungan itu melalui surat dihantar pada 15 November lalu kepada Muhyiddin yang ketika itu Pengerusi PN.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, mesyuarat parti di peringkat bahagian dan negeri akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan ini.
“Selepas kita buat keputusan di peringkat tertinggi, ia perlu dipersetujui akar umbi. Oleh itu Majlis Tertinggi berpendapat bahawa ia perlu dibawa balik kepada bahagian dan negeri untuk membuat keputusan.
“Bukan kita tidak setuju atau setuju dengan kepimpinan Pas menerajui PN, tetapi keputusan yang diambil pada tahun lalu adalah berdasarkan kepimpinan PN ketika itu diterajui Bersatu,” katanya.



