CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan dakwaan kenaikan tarif elektrik yang boleh mencetuskan persepsi negatif serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Menurut MCMC, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berhubung isu peningkatan tarif elektrik adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan panik awam sekiranya tidak dibendung.
Maklumat palsu tersebut dipercayai disebarkan melalui beberapa platform digital termasuk Facebook, Threads dan WhatsApp, selain menggunakan elemen grafik yang menyerupai sebuah agensi berita bagi mengelirukan orang ramai.
Hasil semakan turut mendapati kandungan berkenaan telah disunting daripada bahan rasmi Astro AWANI sebelum disebarkan semula dalam bentuk yang dimanipulasi.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak sewenang-wenangnya berkongsi kandungan yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan lampiran gambar dalam kenyataan tersebut, rakaman keterangan telah diambil ke atas individu-individu yang terlibat sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang dijalankan.



