Orang ramai digesa untuk lebih berhemah dalam penggunaan tenaga elektrik dan air, terutama semasa musim Aidilfitri yang biasanya menyaksikan peningkatan ketara permintaan kedua-dua sumber tersebut, memetik laporan BERNAMA.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, menjelaskan bahawa penggunaan elektrik di kediaman dijangka meningkat antara 20 hingga 40 peratus sepanjang perayaan berbanding kadar biasa.
Beliau menasihatkan beberapa langkah mudah bagi menjimatkan tenaga elektrik, termasuk menutup lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, mengelakkan peralatan berada dalam mod sedia, menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius, dan memilih peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat hingga lima bintang.
Bagi penggunaan air, Fadillah memaklumkan kadar permintaan dijangka meningkat sekitar 30 hingga 35 peratus di negeri-negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang berhari raya. Pihak operator bekalan air telah bersiap sedia bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut menggerakkan pelan kontigensi untuk sebarang situasi luar jangka.
Beliau turut menyeru masyarakat mengamalkan langkah penjimatan air, termasuk membaiki kebocoran paip, menggunakan tadahan air hujan untuk aktiviti bukan utama, membasuh pakaian hanya apabila muatan penuh, menutup pili selepas digunakan, serta menggunakan produk berlabel cekap air dua atau tiga bintang. Penggunaan semula air yang bersih, seperti air wuduk, juga boleh membantu menjimatkan sehingga separuh bil bulanan.
Dari segi keselamatan elektrik, PETRA mengingatkan orang ramai supaya memastikan pendawaian rumah dalam keadaan baik dan menguji Peranti Arus Baki (PAB) sekurang-kurangnya sebulan sekali. Sekiranya peranti gagal berfungsi, pengguna dinasihatkan mendapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga. Langkah lain termasuk memastikan wayar tidak rosak, tidak membebankan soket elektrik, menggunakan peralatan berlabel keselamatan, serta mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika dicas.
Fadillah menegaskan bahawa amalan penjimatan tenaga dan air bukan sahaja memastikan sambutan Aidilfitri lebih selamat dan lancar, tetapi juga menyokong usaha negara dalam menjamin kelestarian sumber tenaga dan air bagi memenuhi keperluan pembangunan masa depan.



