KUALA LUMPUR, – Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO susulan tawaran Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali tanpa syarat.
Perkara itu didedahkan dalam Episod 191 audio siar Keluar Sekejap yang bakal bersiaran esok, seperti dilaporkan oleh Berita KS, agensi media yang dikaitkan dengan program audio siar tersebut.
Menurut Khairy, kenyataan Zahid yang membuka ruang kepada bekas ahli UMNO untuk kembali ke pangkuan parti dilihat sebagai satu perkembangan positif.
“Bila sudah diundang begitu, saya dah lama sebut bahawa saya ingin kembali ke UMNO. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan peluang yang murni secara peribadi,” katanya.
Terdahulu, Zahid dalam kenyataannya memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu “Rumah Bangsa” kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat untuk kembali tanpa syarat sebagai usaha menyatukan semula kekuatan parti.
Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO pada 23 Januari 2023 susulan tindakan disiplin parti terhadap beberapa pemimpin selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Perkembangan terbaharu itu dijangka mencetuskan perbincangan dalam kalangan pemerhati politik mengenai kemungkinan perubahan dinamika dalaman UMNO sekiranya lebih ramai bekas pemimpin memilih untuk kembali menyertai parti tersebut.



