NGO Batal Himpunan Dekat Kuil, Rayer Hargai Usaha Polis dan Semua Pihak Terlibat Perbincangan

CYBERJAYA — Ahli Parlimen Jelutong, R. S. N. Rayer merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam perbincangan bagi memastikan perpaduan, keamanan dan keharmonian masyarakat terus terpelihara susulan isu melibatkan sebuah kuil Hindu berhampiran Hospital Bukit Mertajam.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu berkata beliau menghargai usaha semua pihak yang bersedia duduk semeja untuk membincangkan perkara tersebut secara baik demi kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, perbincangan itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia serta wakil pertubuhan bukan kerajaan dan pihak kuil bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah dapat duduk semeja dan berbincang demi mengutamakan perpaduan, keamanan serta keharmonian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkembangan itu susulan keputusan sebuah NGO untuk tidak meneruskan rancangan mengadakan kehadiran atau perhimpunan berhampiran Kuil Sri Dewi Muniswarar selepas perbincangan bersama polis dan wakil kuil.

Sebelum ini, polis turut memberi amaran agar sebarang perhimpunan yang dicadangkan dibatalkan bagi menghormati bulan Ramadan dan memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.

Isu tersebut timbul selepas tular dakwaan di media sosial mengenai rancangan untuk merobohkan kuil berkenaan, yang kemudiannya membawa kepada laporan polis dibuat oleh Rayer.

Dalam pada itu, wakil kuil memaklumkan bahawa perayaan yang telah dirancang akan diteruskan seperti biasa dan menegaskan bahawa tiada sebarang rancangan untuk mengadakan bantahan atau mogok.

Mengulas lanjut, Rayer berkata rakyat Malaysia sejak merdeka telah lama mengamalkan sikap saling menghormati serta semangat tolak ansur walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

Beliau menegaskan perpaduan rakyat perlu terus dipelihara demi memastikan keharmonian negara kekal terjamin.

“Perpaduan adalah kekuatan kita dan kita semua adalah satu keluarga,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat