KUALA LUMPUR,– Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam sebarang pertemuan di Bangkok yang dikaitkan dengan spekulasi politik dikenali sebagai “Langkah Bangkok”.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, beliau menjelaskan bahawa namanya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pertemuan yang diperkatakan itu.
“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak tertentu, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok, yang dirujuk oleh setengah pihak sebagai ‘Langkah Bangkok’ seperti yang dilaporkan,” katanya.
Menurut beliau, sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut tidak melibatkan dirinya dan tidak mempunyai kena mengena dengannya.
“Saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama saya dengan perkara yang tidak berlaku,” tambahnya.
Istilah “Langkah Bangkok” sebelum ini menjadi perbincangan dalam kalangan pemerhati politik selepas timbul dakwaan mengenai satu gerakan politik yang dikatakan melibatkan pertemuan beberapa pemimpin di Bangkok.
Gerakan tersebut didakwa bertujuan menyusun semula jajaran politik negara dengan menaikkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri, manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula disebut-sebut sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi mengenai kewujudan perancangan tersebut dan beberapa pemimpin politik yang namanya dikaitkan dengan pertemuan berkenaan turut menafikan penglibatan mereka.



