KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk organisasi masyarakat sivil perlu memastikan kenyataan yang dikeluarkan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjadi alat kepada mana-mana agenda sempit yang akhirnya hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengecam tindakan SPRM berhubung siasatan terhadap individu tertentu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes berprofil tinggi baru-baru ini.
Katanya, menuduh secara melulu bahawa sesuatu institusi penguatkuasaan telah ‘dipersenjatakan’ untuk tujuan politik tanpa bukti yang kukuh boleh memberi kesan buruk kepada usaha nasional memerangi rasuah serta melemahkan institusi yang sepatutnya diperkukuh.
“Perjuangan antirasuah bukan milik mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu. Ia adalah tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
“Oleh itu, semua pihak termasuk organisasi masyarakat sivil perlu memastikan kenyataan yang dikeluarkan tidak menjadi alat kepada mana-mana agenda sempit yang akhirnya hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jais turut berpendapat bahawa kenyataan tersebut terlalu tergesa-gesa dan berisiko membentuk persepsi negatif terhadap institusi penguatkuasaan sebelum fakta sebenar siasatan diperoleh secara menyeluruh.
Katanya, SPRM mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu yang difikirkan perlu bagi membantu proses siasatan.
“Proses memanggil individu untuk memberi keterangan, mengesan individu yang gagal tampil membantu siasatan, serta tindakan lanjut oleh agensi penguatkuasaan adalah prosedur biasa dalam mana-mana penyiasatan jenayah.
“Tindakan melabelkan usaha tersebut sebagai ‘intimidasi politik’ tanpa bukti yang jelas bukan sahaja tidak adil kepada SPRM, malah boleh menghakis keyakinan awam terhadap institusi yang memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah di negara ini.
“Kritikan terhadap mana-mana institusi penguatkuasaan adalah wajar dalam sebuah negara demokrasi, namun ia harus dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan bukti dan bukan sekadar persepsi atau spekulasi politik,” ujarnya.
Jais juga berpandangan bahawa segala dakwaan termasuk yang dibangkitkan oleh pihak media antarabangsa seperti Bloomberg perlu disiasat secara telus dan profesional.
Menurutnya, prinsip keadilan menuntut agar semua pihak sama ada individu yang membuat dakwaan mahupun pihak yang didakwa untuk diberikan ruang untuk melalui proses undang-undang yang adil.
“Kita menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan berjalan dengan telus dan profesional tanpa tekanan politik atau manipulasi persepsi,” katanya.
Media semalam melaporkan Bersih mengecam keras hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asalnya untuk membanteras rasuah.
Jawatankuasa Pemandu Bersih mendakwa agensi penguatkuasaan itu kini dilihat menjadi alat intimidasi politik.
Bersih turut mengecam tindakan SPRM menyiarkan notis mengesan bekas pegawai kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai yang turut memaparkan rumah keluarganya selain menyifatkan Langkah itu sebagai Tindakan memalukan secara sengaja yang membina persepsi individu berkenaan telah bersalah.



