KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menjelaskan Musyawarah Isu-isu Islam dan Bumiputera platform penting untuk mengemukakan agenda membina Melayu bermaruah melalui pendekatan politik nilai.
Kata Khalid, Melayu bermaruah ialah Melayu yang yakin dengan jati diri dan nilai Islam, berintegriti dalam kepimpinan, berani menegakkan kebenaran serta memajukan bangsa melalui ilmu, kecekapan dan tadbir urus yang bersih.
Menurut beliau, tujuannya supaya orang Melayu maju dengan keyakinan dan tidak mudah diperdaya oleh naratif “Melayu terancam” yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan masyarakat.
“Mesyuarat semalam di PWTC yang berakhir dengan penubuhan Sekretariat Musyawarah ini merupakan langkah yang wajar dihargai.
“Terima kasih kepada Umno dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mempengerusikan pertemuan lapan parti politik berteraskan Melayu dan Islam.
“Walaupun terdapat pelbagai pandangan politik, bagi Amanah platform ini penting untuk mengemukakan agenda membina Melayu bermaruah melalui pendekatan politik nilai,” jelasnya.
Hakikatnya Khalid menegaskan, dalam keadaan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera terpelihara serta dijamin oleh Perlembagaan, tiada sebab untuk masyarakat hidup dalam politik ketakutan dan kebencian.
“Sebaliknya, berasaskan ajaran Islam, politik seharusnya digerakkan secara positif untuk membina masyarakat dan memimpin ke arah kebaikan untuk semua.
“Melayu yang bermaruah tidak dibina dengan politik ketakutan, tetapi dengan keyakinan diri, ilmu dan kematangan berfikir.
“Apabila jiwa Melayu dibina dengan ketakutan dan emosi, mereka mungkin patuh tetapi tidak berfikir, setia tetapi tidak berdaya saing, serta lebih cenderung menyalahkan orang lain daripada memperbaiki diri.
“Sebagai parti yang berteraskan nilai Islam yang rahmah dan pendekatan politik nilai, Amanah melihat ruang dialog seperti ini sebagai langkah positif untuk memperkukuh persefahaman dan mencari titik persamaan antara parti-parti politik,” kata beliau.
Menurut Khalid lagi, usaha memperkasakan umat Islam dan masyarakat Bumiputera perlu digerakkan melalui nilai, idea, dasar dan penyelesaian yang konstruktif, bukan melalui sentimen emosi atau pendekatan perkauman sempit yang akhirnya hanya memecahbelahkan masyarakat.
“Amanah berharap pertemuan ini tidak berakhir di sini. Ia wajar diteruskan dan diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak parti politik lain bagi membina budaya politik yang lebih inklusif, matang dan beradab,” jelas beliau.



