KUALA LUMPUR – Pas mengambil maklum kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mendakwa kegagalan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri baru-baru ini adalah berpunca daripada “salah faham” di pihak Ahli Parlimen pembangkang.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan ini jelas tersasar dan merupakan percubaan untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar, iaitu kegagalan kerajaan memastikan kehadiran dan sokongan Ahli Parlimennya sendiri semasa sesi pengundian yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.
“Percubaan lemah untuk mengheret dan mengalihkan kesalahan kepada pihak pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi menyerlahkan sifat kebudak-budakan dan pemalas kerajaan.
“Semasa sesi perbahasan Parlimen, anggota pembangkang telah berulang kali menjelaskan bahawa sebarang cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri hendaklah diteliti dalam kerangka Perlembagaan yang luas, terutama dari sudut peranan dan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong bawah Perkara 43(2)(a) untuk melantik Perdana Menteri yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
“Selain itu, pihak pembangkang turut mencadangkan supaya apa-apa pindaan Perlembagaan berkait perkara ini hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja susulan implikasinya ke atas peranan, kedudukan dan kemuliaan institusi Raja-Raja,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Takiyuddin, apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat dengan teliti dan berhemah, selain mendapat sokongan konsensus yang meluas.
“Kegagalan kerajaan dalam isu ini adalah kegagalannya sendiri, bukan orang lain.
“Dalam pada itu, Pas kekal komited kepada usaha reformasi yang tulen, jujur dan berhemah dengan syarat ia dibuat secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan kehendak dan semangat Perlembagaan negara,” kata beliau yang juga pengamal undang-undang.



