KOTA KINABALU, – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak berpandangan bahawa kerjasama antara Sabah dan Sarawak wajar dilihat sebagai satu “gandingan” yang membina, bukannya sebagai sebuah “blok” yang berasingan daripada Persekutuan Malaysia.
Menurut beliau, istilah “Borneo bloc” yang sering digunakan dalam perbincangan politik boleh memberi gambaran konfrontasi, sedangkan hakikatnya Sabah dan Sarawak kekal sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.
Salleh berkata pandangan tersebut selari dengan penegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bahawa tidak wujud perkara seperti “Borneo bloc” kerana kedua-dua negeri itu merupakan sebahagian daripada Malaysia.
“Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi dalam Persekutuan, bukan satu kumpulan yang berasingan daripadanya. Oleh itu, apa juga bentuk kerjasama antara kedua-dua negeri mesti difahami dalam kerangka ini,” katanya dalam satu tulisan yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Menurut beliau, penggunaan istilah “gandingan” lebih tepat kerana ia melambangkan kerjasama, perkongsian serta tanggungjawab bersama dalam memperkukuh kedudukan kedua-dua negeri dalam Persekutuan.
Salleh turut menegaskan bahawa melalui kerjasama yang lebih tersusun, Sabah dan Sarawak boleh memperkukuh kuasa tawar mereka dalam isu-isu penting yang melibatkan kepentingan negeri.
Antara perkara yang perlu terus diperjuangkan termasuk pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta tuntutan perwakilan Parlimen yang lebih adil, termasuk cadangan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata perkembangan politik di Sabah, khususnya melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, juga menunjukkan kehendak majoriti rakyat negeri itu.
“PRN Sabah telah menunjukkan kehendak majoriti rakyat. Ini perlu diterjemahkan juga dalam pendekatan menuju pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, Salleh menegaskan bahawa semua pihak perlu meletakkan kepentingan jangka panjang Sabah mengatasi kepentingan peribadi atau parti politik.
Menurutnya, hanya dengan pendekatan sedemikian kerjasama antara Sabah dan Sarawak dapat diperkukuh secara lebih bermakna dalam kerangka Persekutuan Malaysia.



