KUALA LUMPUR – Selepas sembilan bulan tertangguh, saman Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada satu tarikh yang akan ditetapkan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, seramai empat saksi akan memberi keterangan termasuk saksi pertama yang merupakan Yusoff sendiri.
“Tarikh pengurusan kes dijadualkan pada 8 April ini dan kita berharap tarikh perbicaraan awal akan ditetapkan kerana kes ini merupakan kes kepentingan awam,” ujar peguam itu di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya.
Ketika ditanya wakil media keadaan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri itu, beliau berkata, anak guamnya kini diletakkan di tempat yang selamat.
Kata Rafique, Yusoff masih risaukan keselamatannya selepas situasi yang diharunginya lebih sembilan bulan lalu.
“Yusoff diletakkan di tempat selamat, bukan mudah untuk dia dan keluarga mengharunginya. Kita sudah buat laporan meminta polis siasatan dua pihak, namun kedua-duanya masih tidak dipanggil untuk dirakam percakapan,” ujar peguam itu di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya.
Peguam itu turut menyatakan, senarai saksi plaintif serta dokumen-dokumen berkaitan juga sudah difailkan sejak awal lagi manakala pihak defendan dijangka mengemukakan lima atau enam saksi pada perbicaraan tersebut, lapor MalaysiaGazette di Putrajaya pada Rabu.
Terdahulu, Perdana Menteri menarik balik rayuannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan, ke Mahkamah Rayuan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara memerintahkan Anwar membayar kos RM50,000 kepada Yusoff dalam tempoh 30 hari sebelum 6 April ini.
Sehubungan tu, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membatalkan rayuan Anwar.
Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya atas dakwaan serangan seksual.



