Istilah ‘Melalak’ perlu difahami dalam konteks, bukan manipulasi politik – Kamil Munim

KUALA LUMPUR, 2 Mac 2026 – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim, menegaskan bahawa istilah “melalak” yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu difahami dalam konteks sebenar dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik sempit.

Beliau berkata, AMK memandang serius polemik yang sengaja diperbesarkan berhubung penggunaan istilah tersebut dalam satu hantaran media sosial berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran. Menurutnya, istilah berkenaan tidak wajar dipetik secara terpisah sehingga membentuk persepsi yang mengelirukan.

“Pernyataan Perdana Menteri bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok. Ia merupakan peringatan tegas terhadap budaya tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik yang hanya mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhammad Kamil menjelaskan bahawa individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah pun ditahan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa, sekali gus membuktikan kerajaan tidak berdiam diri.

Beliau menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara hukum menuntut setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis.

Menurutnya, dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih besar. Ketegasan, katanya, perlu disertai kebijaksanaan dan dilaksanakan melalui proses yang telus serta profesional.

Sehubungan itu, beliau berkata AMK menolak naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak. Kenyataan Perdana Menteri harus dilihat sebagai teguran terhadap kecenderungan membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh.

Muhammad Kamil turut menyeru semua pihak agar menghentikan manipulasi isu tersebut demi kepentingan politik sempit dan memberi ruang sewajarnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan tanpa campur tangan yang boleh mengganggu proses keadilan.

“Sebagai sebuah negara majmuk, kestabilan dan keharmonian nasional tidak boleh dikorbankan demi retorik murahan yang mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat