CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama bertarikh 2024 yang memaparkan insiden melibatkan seorang warga Singapura di republik itu, dengan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan tersebut yang dipercayai dimuat naik semula di beberapa platform media sosial sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan siasatan awal, individu yang terlibat dipercayai merupakan warga Singapura dan kejadian itu juga dipercayai berlaku di Singapura pada tahun 2024.
Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan tersebut di Malaysia.
Menurut MCMC, sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan berkenaan.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan [https://aduan.mcmc.gov.my](https://aduan.mcmc.gov.my) atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.



