BEIT SHEMESH / DUBAI – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 27 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu yang mengenai bandar Beit Shemesh, barat Baitulmaqdis, menurut BBC memetik sumber perkhidmatan kecemasan Israel
Serangan itu berlaku ketika Iran melancarkan serangan berskala besar di seluruh Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan udara besar-besaran dan berterusan oleh Amerika Syarikat serta Israel terhadap negara itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menuduh Iran sengaja menyasarkan orang awam, dengan mendakwa peluru berpandu ditembak terus ke arah Beit Shemesh sehingga “membunuh orang awam yang tidak bersalah”. Sebuah bangunan yang menjadi lokasi perlindungan penduduk dilaporkan terkena serangan.
Puluhan anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi bagi mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan. Paramedik Magen David Adom, Dror Eini, berkata pihaknya menyaksikan rumah musnah, api marak dan asap tebal dari bangunan kediaman, selain kenderaan yang rosak teruk serta suasana kelam-kabut.
Serangan Merebak ke Teluk
Serangan Iran turut melibatkan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan sekutu serta aset Amerika Syarikat di rantau Teluk, selepas pemimpin tertinggi Iran terbunuh dalam ofensif udara AS-Israel yang dilancarkan Sabtu lalu.
Di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), seorang maut dan tujuh cedera selepas serpihan dron yang dipintas jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed. Di Kuwait, seorang dilaporkan terbunuh manakala 32 lagi cedera sejak Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Pihak berkuasa Dubai mengesahkan satu “insiden” menyebabkan kerosakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) – lapangan terbang paling sibuk di dunia dari segi jumlah penumpang – dan mencederakan empat kakitangan.
Rakaman yang disahkan menunjukkan kebakaran besar di hotel lima bintang Fairmont The Palm di Palm Jumeirah susulan satu letupan pada Sabtu petang. Serpihan dron turut menyebabkan kebakaran kecil pada bahagian luar hotel Burj Al Arab, selain kebakaran di Pelabuhan Jebel Ali akibat serpihan hasil pemintasan udara.
Seorang penduduk Dubai memberitahu beliau melihat kira-kira 15 peluru berpandu dilancarkan dari kawasan berhampiran rumahnya, dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha pemintasan oleh pihak berkuasa UAE terhadap projektil Iran.
Negara Teluk Pintas Serangan
Qatar, Bahrain, Jordan dan Kuwait – yang menempatkan pangkalan tentera AS – menyatakan mereka berjaya memintas peluru berpandu yang dilepaskan ke arah wilayah masing-masing, namun serpihan yang jatuh menyebabkan kerosakan meluas.
Di Bahrain, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan lapangan terbang negara itu rosak akibat serangan dron. Iran melalui Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa telah menyerang ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Manama. Asap hitam tebal dilaporkan kelihatan berhampiran kawasan pangkalan tersebut.
Agensi berita Oman pula melaporkan Pelabuhan Komersial Duqm disasarkan dua dron, mencederakan seorang pekerja. Oman sebelum ini berperanan sebagai pengantara penting dalam rundingan AS-Iran dan setakat ini jarang menjadi sasaran serangan.
Dalam sidang media, pegawai Qatar memaklumkan Iran melancarkan 65 peluru berpandu dan 12 dron pada Sabtu, dengan kebanyakannya berjaya dipintas, namun lapan individu cedera akibat serpihan.
Gangguan Penerbangan Besar-besaran
Krisis ini turut menjejaskan perjalanan udara global apabila ribuan penerbangan ke dan dari rantau berkenaan dibatalkan atau digantung – antara gangguan paling serius sejak pandemik Covid-19.
Walaupun negara-negara Teluk sebelum ini berusaha meredakan ketegangan dan menjadi pengantara diplomatik, perkembangan terbaru ini menunjukkan konflik telah melangkaui sempadan Iran dan Israel, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan seluruh rantau.
Dengan kematian pemimpin tertinggi Iran dan serangan balas yang semakin meluas, masa depan keselamatan Asia Barat kini berada dalam keadaan yang tidak menentu.



