Firdaus Wong tuduh DBKL berbohong, cabar dedah rakaman CCTV insiden rampasan reruai MRM

KUALA LUMPUR, 18 Feb 2026 — Pengasas dan bekas Pengerusi Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menuduh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap reruai dakwah pertubuhan itu di Jalan Bukit Bintang semalam.

Dalam kenyataan media sosialnya hari ini, Firdaus mendakwa kenyataan DBKL bahawa tiada wakil MRM hadir selepas menunggu lebih 30 minit adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Beliau menjelaskan bahawa pada hari kejadian, hanya seorang sukarelawan MRM bertugas dan individu tersebut meninggalkan reruai buat sementara waktu selama kira-kira 15 hingga 20 minit bagi ke tandas dan menukar telefon kerana bateri lemah.

“Sukarelawan yang sama melaksanakan aktiviti Street Dakwah hampir setiap hari di lokasi yang sama sejak 2 Februari 2026. Dia hanya meninggalkan reruai anggaran 15–20 minit sahaja sebelum kembali dan mendapati sekumpulan pegawai DBKL berada di situ,” katanya.

Firdaus mempersoalkan dakwaan DBKL bahawa tiada wakil MRM tampil memberikan penjelasan, dengan menyatakan pegawai DBKL sendiri telah berinteraksi dengan sukarelawan tersebut apabila beliau kembali ke lokasi.

“Kalau tiada wakil MRM, dengan siapa pegawai DBKL itu bercakap? Kalau tiada wakil MRM tampil, bagaimana gambar khemah dengan latar belakang pegawai DBKL boleh diambil?” katanya, sambil mencabar DBKL mengemukakan rakaman CCTV sebagai bukti.

Beliau turut mempertikaikan tindakan DBKL yang didakwa merampas barangan dakwah tanpa mengeluarkan inventori rasmi rampasan, yang menurutnya bercanggah dengan prosedur biasa penguatkuasaan.

“Bila telefon saya diserahkan kepada polis untuk siasatan, pihak polis akan tulis jenama, model, nombor siri dan imei serta beri salinan inventori. Tetapi DBKL tidak berbuat demikian,” katanya.

Selain itu, Firdaus turut mempersoalkan dakwaan DBKL bahawa khemah tersebut menghalang laluan pejalan kaki, dengan menjelaskan reruai berkenaan telah beroperasi sejak 2013, manakala penggunaan kanopi hanya bermula sekitar 2022 semasa program tertentu.

Menurut beliau, khemah tersebut diletakkan di tepi pagar dan bukan di laluan utama pejalan kaki, selain mendakwa tiada tindakan diambil terhadap struktur lain seperti meja dan kerusi di kawasan sama.

Firdaus turut mempersoalkan mengapa tiada kompaun dikeluarkan sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan, serta mempersoalkan kehadiran seramai 12 pegawai DBKL untuk tindakan terhadap satu khemah pada hari cuti umum Tahun Baharu Cina.

Beliau juga mencabar DBKL supaya mendedahkan rakaman CCTV kawasan tersebut bagi membuktikan dakwaan bahawa tiada wakil MRM berada di lokasi semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan.

Semalam, DBKL dalam kenyataan media memaklumkan tindakan menurunkan khemah di Jalan Bukit Bintang dibuat selepas mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di laluan pejalan kaki, dan selepas menunggu lebih 30 minit tanpa kehadiran wakil pihak terlibat.

DBKL turut menegaskan bahawa pihaknya tidak menghalang aktiviti dakwah di ruang awam, namun semua aktiviti perlu mematuhi prosedur dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, serta memaklumkan pertemuan dengan pihak MRM akan diadakan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat