DBKL jelaskan tindakan di Bukit Bintang ikut undang-undang, tiada wakil MRM tampil beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 18 Feb 2026 — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan di Jalan Bukit Bintang pada 17 Februari lalu dilaksanakan mengikut undang-undang selepas menunggu lebih 30 minit namun tiada wakil pihak Multiracial Reverted Muslims (MRM) tampil memberi penjelasan di lokasi.

Dalam kenyataan media hari ini, DBKL memaklumkan tindakan itu dibuat susulan hasil pemantauan di lapangan yang mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam.

Menurut DBKL, laluan pejalan kaki perlu sentiasa bebas daripada sebarang halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.

“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, DBKL mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.

DBKL turut menegaskan bahawa sepanjang pelaksanaan tindakan tersebut, pihak yang bertanggungjawab masih tidak hadir untuk memberikan sebarang penjelasan.

Menurut DBKL, semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang, selain penting bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara demi kepentingan bersama warga kota.

Dalam masa sama, DBKL menafikan dakwaan bahawa pihaknya menghalang aktiviti dakwah di ruang awam, sebaliknya menegaskan semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

DBKL turut memaklumkan pihak pengurusan akan mengadakan perjumpaan dengan pihak Multiracial Reverted Muslims (MRM) dalam masa terdekat bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi sama tidak berulang pada masa hadapan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL, hari ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat