Krisis dalaman lumrah parti politik, Muhyiddin mampu pulihkan Bersatu — Khir Toyo

KUALA LUMPUR, — Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berpandangan krisis dalaman yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu proses biasa dalam kitaran sesebuah parti politik dan yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memulihkan serta memperkukuhkan semula parti tersebut.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Khir berkata pertembungan antara pemimpin utama dan timbalannya bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan episod yang telah dilalui oleh banyak parti politik sebelum ini.

“Apa yang berlaku dalam Parti Bersatu hari ini adalah satu episod yang telah dilalui semua parti politik dalam negara kita,” katanya.

Menurut beliau, sejarah menunjukkan sesebuah parti lazimnya akan menjadi lebih kuat selepas melalui fasa konflik dalaman, khususnya apabila tindakan diambil bagi memulihkan kestabilan organisasi dan mengembalikan fokus kepada asas perjuangan parti.

“Sejarah menunjuk kita untuk belajar, selepas mereka yang menggugat kestabilan parti itu dipecat atau disingkir, parti itu akan bertambah kuat dan ahli parti makin sedar bahawa parti perlu kembali kepada asas perjuangannya,” katanya.

Khir turut menegaskan Bersatu mempunyai asas untuk bangkit semula kerana tindakan yang diambil oleh kepimpinan parti dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti.

“Parti Bersatu pasti bangun semula dengan lebih yakin dengan kepimpinan Presiden kerana semua tindakan yang diambil mengikut kehendak perlembagaan parti,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan kebijaksanaan dalam kepimpinan, dengan menyatakan pemimpin yang bijak memahami keperluan parti dan bertindak pada waktu yang tepat, termasuk menjaga adab ketika berdepan perbezaan pandangan.

Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa pemimpin yang terlalu bergantung kepada retorik tanpa tindakan yang konsisten berisiko kehilangan sokongan pengikut.

“Pemimpin yang pandai bercakap selalunya tidak bertahan lama kerana pengikut akan kecewa bila cakapnya tidak jadi kenyataan,” katanya.

Khir turut menyeru supaya Muhyiddin terus memimpin Bersatu dan menyifatkan kemelut semasa sebagai fenomena sementara yang akan dapat diatasi melalui kepimpinan yang berasaskan kebijaksanaan.

“Presiden teruslah pimpin parti ini. Fenomena sementara ini tidak akan ke mana, kebijakan pasti mengatasi kepandaian,” katanya.

Kenyataan Khir dibuat ketika Bersatu berdepan krisis kepimpinan dalaman susulan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin kanan parti, termasuk pemecatan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa ahli lain oleh Lembaga Disiplin parti baru-baru ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat